Erdogan titip doa buat Tun M

Erdogan titip doa buat Tun M

Ankara: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan selamat serta doa kesejahteraan buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terjatuh dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Turkiye.

Dalam lawatan rasmi itu, Anwar berkata, Presiden Erdogan turut mengambil kesempatan bertanyakan khabar dan keadaan kesihatan Dr Mahathir, selain mendoakan beliau dikurniakan afiah serta keselamatan.

“Presiden Tayyip Erdogan juga menanyakan mengenai kesihatan Tun Dr Mahathir. Saya jelaskan sedikit daripada apa yang disampaikan oleh doktor dan beliau bersama-sama mengucapkan selamat serta mendoakan agar afiah dan keselamatan,” katanya.

Anwar berkata, Erdogan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Tun M bagi bertanya khabar dan menyampaikan doa secara peribadi sekiranya keadaan kesihatan beliau bertambah baik.

“Beliau bersetuju sekiranya keadaan Tun Mahathir lebih sedikit lega, akan cuba menelefon, menanyakan khabar dan mendoakannya,” tambahnya.

Kelmarin, Dr Mahathir dirujuk ke IJN selepas terjatuh di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.

Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, mengesahkan Dr Mahathir memerlukan beberapa minggu untuk menjalani rawatan dan pemantauan di hospital.

Kali terakhir Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada Julai tahun lalu akibat keletihan selepas menghadiri satu majlis di Putrajaya, beberapa hari selepas menyambut ulang tahun ke-100.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top