syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Restoran masakan Padang milik pelawak, Ajak Shiro, Bumbu Babah menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Penjualan Hidangan Nasi Padang Terbanyak dalam Masa Sehari sebanyak 23,674 pada 1 Januari lalu.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 40, berkata, dia juga tidak menjangkakan sambutan sehangat itu dan jumlah itu merangkumi penjualan di 40 cawangan.
“Sejujurnya, saya dengan rendah hati mengakui bahawa saya tidak pernah terfikir Bumbu Babah ini akan sampai ke tahap seperti hari ini.
“Justeru, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada pelanggan yang sentiasa setia bersama kami,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia pada awalnya ragu-ragu dengan menu yang akan dijual, namun perlahan-lahan, mula melangkah dengan yakin.
“Pada peringkat awal, apabila saya sekadar mahu melayan kehendak anak saya untuk mencuba perniagaan ini, timbul juga persoalan dalam diri, adakah menu seperti nasi Padang ini sesuai untuk dijual?
“Ini kerana ia bukanlah makanan yang biasa kita jadikan sebagai hidangan harian, walaupun sering didengar namanya.
“Namun, apabila kami mula melangkah, saya benar-benar tidak menyangka bahawa dalam tempoh satu tahun satu bulan sahaja, kami berjaya mencatat rekod sebanyak 23,674 hidangan dalam satu hari,” katanya.
Sijil dari MBOR diserahkan wakilnya dalam satu majlis yang berlangsung di Bumbu Babah cawangan MyTown Shopping Center, Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




