Dua pulau baharu dikesan muncul di luar pantai Anak Krakatau

Dua pulau baharu dikesan muncul di luar pantai Anak Krakatau

Jakarta: Dua pulau baharu dikesan muncul di luar pantai Anak Krakatau dipercayai yang pertama terbentuk dalam tempoh hampir satu abad di dalam kaldera berkenaan selepas letusan dahsyat pada 1883, lapor Bloomberg.

Kemunculan formasi daratan itu dikesan susulan letusan berterusan selama 25 jam pada awal September lalu.

Kedua-duanya terletak ratusan meter di dua bahagian bertentangan di luar pantai Anak Krakatau masing-masing di barat laut dan tenggara, hampir membentuk satu garisan merentasi kawah gunung berapi itu, menurut Agensi Geologi Indonesia.

Agensi berkenaan menganggarkan satu formasi terletak kira-kira 760 meter dari pantai barat laut Anak Krakatau manakala satu lagi kira-kira 495 meter di tenggara. Bagaimanapun, dimensi dan ketinggian kedua-dua formasi dari paras laut masih belum disahkan.

Tafsiran awal agensi itu menunjukkan magma yang agak cecair dilepaskan secara berterusan menerusi satu bukaan memanjang dari barat laut ke tenggara sebelum bahan letusan membentuk dua timbunan seakan-akan pulau di luar pantai.

Dalam tempoh 96 tahun, sejarah kaldera berkenaan banyak menyaksikan proses pembentukan dan perubahan Anak Krakatau di Selat Sunda di antara Jawa dan Sumatra.

Tiada pulau berasingan lain diketahui muncul di dalam kaldera itu sejak Anak Krakatau kekal berada di atas paras laut pada 1930.

Imej terbaharu formasi berkenaan pula dirakam secara tidak sengaja hampir dua minggu selepas letusan ketika kumpulan sukarelawan menjalankan misi pencarian sekumpulan rakan wartawan dan individu lain yang dilaporkan hilang di laut.

Seorang aktivis pelancongan dari Kalianda, Lampung Selatan, Yodistara Nugraha, menerbangkan dron di sepanjang pesisir pantai dan perairan cetek sekitar kaldera bagi mengesan sebarang petunjuk mengenai kehilangan bot laju yang dinaiki kumpulan wartawan terbabit.

Menerusi rakaman dron terakhirnya pada hari berkenaan ketika melintasi laluan perairan antara Pulau Sertung dan Anak Krakatau, kelihatan ombak memukul timbunan daratan rendah berwarna gelap yang dipercayai pulau baharu di bahagian barat laut.

Bagaimanapun, misi pencarian itu tidak menemui sebarang jejak kumpulan yang hilang dan Yodistara hanya menyedari kemungkinan dirinya merakam kejadian geologi berkenaan selepas meneliti semula rakaman video terbabit.

Anak Krakatau dilaporkan tidak menunjukkan sebarang aktiviti utama selama lebih dua tahun sebelum kembali aktif pada Julai lalu yang kemudiannya membawa kepada letusan berterusan selama 25 jam bermula lewat 4 September lalu.

Aliran lava dan bahan piroklastik daripada letusan itu menambah kawasan daratan pulau berkenaan hampir 33 hektar, menurut Agensi Geologi Indonesia.

Ketua Pasukan Gunung Berapi Agensi Geologi Indonesia, Heruningtyas Desi Purnamasari berkata, persoalan utama berkenaan asal usul kedua-dua formasi berkenaan masih belum terjawab.

Pensyarah Jabatan Geosains Universiti Indonesia, Asri Oktavioni Indraswari berkata, fokus utama ketika ini adalah menentukan komposisi formasi berkenaan.

“Ada dua kemungkinan iaitu lohong letusan baharu atau himpunan bahan letusan yang terkumpul di bahagian cetek kaldera lama. Jika ia adalah lohong baharu di mana magma meletus, ini bermakna aktiviti gunung berapi tidak lagi terhad di saluran pusat Anak Krakatau,” katanya.

Anak Krakatau muncul beberapa dekad selepas letusan dahsyat Krakatau pada 1883 yang memusnahkan sebahagian besar pulau asal, mengorbankan lebih 36,000 nyawa serta menjejaskan iklim dan keadaan atmosfera global selama bertahun-tahun.

Profesor Vulkanologi Universiti Birmingham, Sebastian Watt berkata, bentuk daratan di sekitar gunung berapi yang berhampiran paras laut adalah sangat dinamik kerana proses hakisan dan pemindahan bahan bersaing dengan pengendapan serta pertambahan bahan ketika aktiviti letusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top