Ko Lan, Thailand: Laut di sekitar pulau peranginan popular Thailand, Ko Lan, bertukar hijau pekat dan mengeluarkan bau menyengat minggu ini selepas hujan lebat serta banjir mencetuskan ledakan plankton yang menyebabkan sebahagian pelancong enggan mandi di pantai.
Kawasan air berwarna hijau pekat kelihatan terbentang di sepanjang sebahagian pesisir pantai dengan jet ski terapung di permukaan air yang bertukar warna di sekitar pulau yang terletak di bahagian utara Teluk Thailand itu.
Bagaimanapun, beberapa kawasan pesisir pantai lain tidak terjejas dengan fenomena berkenaan.
“Apa yang kita lihat dengan mata kasar sebenarnya ialah warna yang berpunca daripada sejenis plankton yang dipanggil Noctiluca,” kata Arvut Munhapon, penyelidik kanan merangkap ketua penyelidikan alam sekitar marin di Bahagian Penyelidikan Sains Marin, Institut Sains Marin, Universiti Burapha.
Pasukannya yang terdiri daripada empat ahli berada di lokasi bagi mengumpul sampel air dan mengukur kualiti air sebelum membawa sampel berkenaan ke makmal untuk mengenal pasti spesies serta membina pangkalan data bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi itu.
Menurut penyelidik berkenaan, ledakan plankton ialah fenomena semula jadi yang berlaku berulang kali, namun semakin memburuk di seluruh dunia berikutan perubahan iklim yang menyebabkan suhu lautan meningkat.
Mereka berkata, limpahan baja dan air sisa yang kaya dengan nutrien dan mengalir ke laut turut menyumbang kepada pertumbuhan plankton secara pantas.
Timbalan Pengarah Institut Sains Marin Universiti Burapha, Anukul Buranapratheprat berkata, ledakan itu biasanya berlarutan selama dua hingga tiga hari.
Apabila fenomena itu berakhir, kematian plankton secara besar-besaran akan menyebabkan oksigen dalam air berkurangan dan kadangkala mewujudkan keadaan hipoksia atau ‘zon mati akuatik’ iaitu keadaan paras oksigen yang terlalu rendah untuk menampung hidupan marin.
“Kami sedang melihat kesan akhirnya iaitu hipoksia dan hipoksia di bahagian dalam Teluk Thailand, berdasarkan penyelidikan saya sendiri, secara jujurnya menjadi semakin serius,” katanya.
Menurutnya, kebimbangan utama Ketika ini ialah pembentukan zon hipoksia yang luas dengan kandungan oksigen yang terlalu rendah untuk menampung hidupan marin di dasar laut.
Monson dan El Nino mungkin memburukkan lagi kedua-dua ledakan plankton dan keadaan hipoksia kerana air yang lebih panas mempunyai keupayaan lebih rendah untuk mengekalkan oksigen terlarut, namun Anukul berkata, penyelidikan lanjut diperlukan bagi mengesahkan perkaitan itu.
Banjir besar yang melanda Thailand sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk di wilayah tengah dan Bangkok turut meningkatkan jumlah air tawar yang mengalir ke teluk berkenaan.
Peniaga makanan di sepanjang pantai berkata, jumlah pelanggan merosot sejak air bertukar hijau manakala sebahagian pengunjung beralih ke kawasan pulau yang tidak terjejas selain ada yang tidak berani mendekati laut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




