PUTRAJAYA: Seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat disambung reman kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Perintah reman yang dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disambung selama tiga hari bermula esok sehingga 6 Oktober ini.
Perintah reman terhadap suspek itu telah dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi, sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat hari ini.
Memuatkan artikel berkaitan…
Sebelum ini, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan reman selama tiga hari sejak Khamis lalu.
Melalui siasatan yang dijalankan, SPRM telah mengeledah 12 lokasi yang terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek.
Dalam operasi tersebut SPRM telah menyita 25 unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM25 juta dan turut membekukan empat akaun peribadi dan tiga akaun syarikat bernilai kira-kira RM3 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN




