am@hmetro.com.my
Tawau: Kes saman membabitkan bekas pegawai kanan perisikan ESSCOM terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 defendan lain i Mahkamah Tinggi di sini bermula 27 hingga 30 April depan.
Tarikh perbicaraan saman yang menuntut ganti rugi RM100 juta itu ditetapkan selepas kes disebut secara dalam talian hari ini.
Prosiding dihadapan Timbalan Penolong Pendaftar Kanan, Lim Sze Chuen, plaintif diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah dan Rasrina Patrick manakala defendan diwakili Peguam Persekutuan, Afiq Nazrin Zaharinan.
Tarikh perbicaraan penuh ditetapkan selepas proses mediasi gagal mencapai sebarang persetujuan.
Pada 15 Ogos 2024, bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner (B) Datuk Mat Zaki Md Zain, bersama tiga bekas anggota unit perisikan terbabit iaitu Fabian anak Rungan, Dennis anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran, masing-masing bertindak sebagai plaintif memfailkan tindakan undang-undang itu.
Antara yang dinamakan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan; serta bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut disenaraikan sebagai defendan ialah Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin; Asisten Komisioner Ts Dr Mohd Hakim Hashom; Deputi Superintendan Yusman Shahri Marinsah serta Ketua Polis Negara, selain Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kesembilan hingga ke-11.
Sementara itu, Sharatha ketika dihubungi memaklumkan perbicaraan penuh kes itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Saiful Azian Mokhtar di Mahkamah Tinggi Tawau pada tarikh yang telah ditetapkan.
Katanya, kedua-dua pihak dijangka memanggil enam saksi masing-masing untuk memberi keterangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




