mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan metal, XPDC yang dianggotai oleh Izo (gitar), Eddie (bass), Arif (gitar), Lola (drum) dan Mamu (vokal) menjadi artis terakhir beraksi di Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, malam ini.
Ia berikutan tapak pesta yang menjadi simbol ikonik kepada masyarakat setempat dan luar Pulau Mutiara, akan ‘direhatkan’ bagi memberi laluan kepada pembangunan projek Mutiara LRT.
Pengurus Kanan Pesta Pulau Pinang, Nuar Rizal Kamaruddin berkata, keputusan ini disambut dengan perasaan sedih dan sayu oleh artis-artis yang pernah mengadakan persembahan di sini.
“Pesta Pulau Pinang mula diperkenalkan pada 1966 di Padang Kota, sebelum berpindah ke tapak sekarang di Sungai Nibong pada 1974.
“Sudah lebih 50 tahun pesta ini bertapak di Sungai Nibong. Ia bukan sekadar acara, tapi ikon yang sangat dekat di hati rakyat Pulau Pinang dan pengunjung luar.
“Namun, apa boleh buat perancangan untuk bina Mutiara LRT memaksa tapak ini direhatkan selama kira-kira enam tahun. Ikut perancangan, kerja-kerja fasa pertama akan bermula seawal April ini,” katanya.
Nuar berkata, berita penutupan ini turut mengejutkan ramai artis tanah air yang pernah memeriahkan pentas pesta terbabit pada edisi 2025/2026 ini.
“Antaranya Datuk Hattan, Ella dan Muss yang beraksi di sini juga menyentuh mengenai perkara ini. Malah, Siti Nordiana menitiskan air mata kerana terlalu sayu mengenangkan nasib Pesta Pulau Pinang.
“Datuk Awie sendiri merayu agar Pesta Pulau Pinang tidak dihentikan kerana takut orang ramai akan mula melupakannya. Dia setuju jika lokasi ini dialihkan sedikit dari tapak asal,” katanya.
Mengulas mengenai masa depan Pesta Pulau Pinang, Nuar memaklumkan walaupun terdapat perancangan untuk membina semula tapak pesta selepas projek siap, skalanya mungkin tidak lagi sama.
“Pembangunan semula nanti mungkin menyaksikan tapak pesta menjadi lebih moden tetapi saiznya dijangka mengecil daripada saiz asal.
“Suasananya mungkin tidak akan sama. Buat masa ini, tiada lokasi alternatif yang sesuai dikenal pasti untuk memindahkan operasi pesta dalam tempoh enam tahun ‘rehat’ ini.
“”Ada cadangan untuk ke Batu Kawan, namun ia memerlukan kajian mendalam. Sebenarnya Pesta Pulau Pinang dikenali sebagai pesta rakyat yang tidak berorientasikan keuntungan,” katanya.
Menurutnya, dengan harga tiket serendah RM5, pengunjung boleh menikmati konsert artis ternama, iaitu harga yang mustahil didapati di tempat lain.
“”Kami jalankan pesta ini bukan untuk untung, tetapi untuk kegembiraan rakyat dan ‘bonding’ keluarga. Seperti feri Pulau Pinang yang telah tiada, kami berharap pesta ini tidak hilang terus dari ingatan.
“Kami akan jalankan tinjauan (survey) di media sosial rasmi Pesta Pulau Pinang untuk mendengar suara rakyat mengenai harapan mereka terhadap masa depan acara ikonik ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
