am@hmetro.com.my
Melihat trend penonton terutama generasi muda masa kini kurang meluangkan masa menonton televisyen, penerbit dan pelakon terkenal, Sheila Rusly beralih dengan lebih memilih terus aktif di media sosial.
Sheila yang lebih mesra menggelarkan dirinya ‘Sis’ berkata, kaedah itu dianggap lebih mudah mendekati ‘penonton’ di media sosial, tambahan pula kandungan di platform itu boleh ditonton berulang kali.
Beliau yang ‘popular’ dengan program Ketuk-Ketuk Ramadan berkata, meskipun tidak akan muncul dalam program masakan pada Ramadan kali ini, namun Sheila mahu terus memuat naik kandungan di media sosial.
“Fokus saya memang di platform media sosial, kalau pun ada buat kelainan untuk Ramadan kali ini pun, saya letak di media sosial, tak akan buat di TV (televisyen).
“Saya rasa orang sekarang tak berapa luangkan masa tengok TV, kebanyakan masa semua dengan telefon sahaja.
“Bila ‘post’ (buat hantaran) di media sosial ini, mereka boleh tengok berapa kali mereka nakkan, kalau tak puas boleh pergi dekat ‘profile’ saya, klik sahaja boleh tengok (hantaran),” katanya.
Isteri kepada pengarah, Azman Yahya atau Jinggo itu ditemui di pengenalan Buffet Gempita Ramadan Hotel Renaissance, Johor Bahru, baru-baru ini.
Menerusi kerjasama bagi tahun ketiga dengan hotel berkenaan, Sheila membawakan menu terbaharu diberi nama Sate Lilit Janda Mengamuk untuk Buffet Ramadan.
Apabila ditanya projek terbaharu sepanjang Ramadan kali ini, Sheila berkata, beliau sibuk dengan penggambaran kandungan berkolaborasi dengan beberapa jenama sempena bulan puasa ini.
“Untuk Ramadan kali ini, saya macam biasa banyak buat ‘content shoot’. Saya bekerja dengan beberapa jenama sebab Ramadan kan, banyak yang nak promosikan produk makanan, jadi saya memang dah ada ‘contract’ yang dah tanda tangan sebelum ini.
“Saya tinggal kena sambung buat hantaran kandungan (media sosial) untuk mereka dan pada masa sama ada juga jenama baharu mahu kolaborasi dalam tempoh tertentu untuk kempen Ramadan dan Raya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai sambutan Ramadan dan Syawal akan datang, pemilik restoran Siang Malam ini berkata, ia lebih bermakna apabila keluarganya semakin membesar dengan kehadiran cucu kedua, Bahtera Elhaq.
“Puasa ke, raya ke, saya sama sahaja, semuanya dengan keluarga. Tahun ini yang ‘special’ sebab ada cucu barulah.
“Rasa ahli keluarga makin ramai, lebih sempurna sebab ada cucu lelaki pula, tetapi sambutannya sama.
“Kami luangkan masa dengan keluarga dan cipta sebanyak mana memori yang boleh sebab ‘family is always number one’,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




