Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2025 melabuhkan tirai hari ini, dengan seruan pembaharuan kepada parti yang berusia hampir 80 tahun itu.
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyeru agar proses pembugaran UMNO dimulakan segera, melibatkan pemilihan calon pilihan raya dalam kalangan wanita dan kepimpinan muda.
Beliau berkata peluang bertanding perlu diberikan secara adil tanpa prejudis, termasuk kepada kepimpinan Puteri khususnya di kerusi berpotensi menang, selaras dengan komitmen penglibatan 30 peratus wanita dalam parti.
“Khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor nanti. PRN ini akan menjadi ujian sama ada penglibatan wanita ini menjadi realiti atau masih sekadar janji. Puteri layak diberi peranan yang bermakna dan strategik dalam parti,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.
Nurul Amal juga mencadangkan pengumuman calon dilakukan lebih awal berbanding dua minggu sebelum hari penamaan calon ketika ini, bagi memberi ruang kepada pengundi mengenali mereka yang dipilih.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula mahu golongan wanita melengkapkan diri dengan kemahiran dan kelayakan sewajarnya, dalam persaingan kerjaya dan peluang jawatan kepimpinan, sejajar usaha pembaharuan parti.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata wanita tidak seharusnya dipilih semata‑mata kerana jantina, tetapi atas merit memegang jawatan yang ditawarkan.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pergerakan Pemuda akan melakukan segala upaya bagi memastikan UMNO kembali menjadi parti yang dominan dalam landskap politik negara.
“Seperti kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), kini bukan lagi masa kita jual sejarah, tapi perlu mula bekerja untuk menjual masa hadapan yang lebih baik,” katanya.
Dr Muhamad Akmal juga berjanji akan lebih kerap turun ke setiap bahagian untuk membantu memperkemas jentera parti pada peringkat akar umbi, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 dan cabaran politik mendatang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




