PETALING JAYA: Had laju maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah perlu diwartakan segera bagi mengurangkan risiko kematian dan kecederaan parah dalam kalangan murid, susulan keupayaannya mengurangkan tenaga kinetik kenderaan sehingga 64 peratus.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Law Teik Hua berkata, pengurangan tenaga kinetik itu dapat mengurangkan daya impak yang perlu diserap ketika pelanggaran, selain memberi lebih masa kepada pemandu untuk bertindak balas dan memberhentikan kenderaan.
Beliau berkata, kajian antarabangsa menunjukkan risiko kematian pejalan kaki pada kelajuan hentaman 30km/j adalah sekitar lima peratus sahaja, berbanding meningkat kepada 50 peratus pada kelajuan 59km/j.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Bagi murid sekolah yang mempunyai keupayaan terhad untuk menilai kelajuan kenderaan dan jarak lintasan, penetapan had 30km/j merupakan langkah pencegahan yang sangat munasabah.
“Bagaimanapun, penetapan had laju sahaja tidak mencukupi jika fizikal jalan masih lebar dan lurus. Ia perlu disokong reka bentuk kejuruteraan seperti bonggol mengikut piawaian teknikal, lintasan pejalan kaki ditinggikan, pulau perlindungan di tengah jalan dan penyempitan lorong mengikut konsep sistem keselamatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, had laju maksimum 30km/j di kawasan sekolah masih belum dapat dikuatkuasakan berikutan pindaan undang-undang berkaitan yang masih diteliti.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti pindaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan membabitkan kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan sebelum had laju itu diwartakan.
Sementara itu, Teik Hua berkata, pemandu tidak boleh dianggap melakukan kesalahan sekiranya memandu melebihi 30 km/j jika had laju yang sah di lokasi berkenaan masih berbeza.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperketat pemantauan di kawasan sekolah menggunakan kuasa undang-undang sedia ada.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyegerakan pemasangan lampu amaran, kon keselamatan serta penyediaan pengawal lintasan sekolah.
“Kaedah paling berkesan kelak adalah menggabungkan penguatkuasaan automatik iaitu kamera kelajuan, operasi polis berkala dan penilaian berasaskan data. Kejayaan dasar ini perlu diukur berdasarkan kadar kepatuhan dan penurunan kemalangan murid, bukannya jumlah saman yang berhasil dikutip,” katanya.
Tambahnya, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten di semua sekolah mengikut tahap risiko, bukan hanya di lokasi yang mendapat perhatian media.
“Kerajaan juga boleh memulakan pelaksanaan secara berperingkat, dengan mengutamakan sekolah yang mempunyai risiko paling tinggi, sebelum memperluasnya ke seluruh negara.
“Gabungan penguatkuasaan yang konsisten, infrastruktur yang sesuai dan penilaian berasaskan data akan memberikan asas yang lebih kukuh untuk memastikan had laju 30km/j benar-benar melindungi murid,” katanya. – UTUSAN




