Spurs bangkit saat United hampir berpesta

Spurs bangkit saat United hampir berpesta

Manchester: Tottenham Hotspur masih bergelut pada permulaan musim ini, namun pengendalinya, Roberto De Zerbi, melihat petanda positif ketika pasukannya mengikat Manchester United 1-1 di Old Trafford, semalam.

Spurs kini berada di tangga ke-18 tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, De Zerbi berpuas hati dengan semangat juang anak buahnya yang mendominasi permainan sebelum menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Dominic Solanke, meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Saya sangat gembira kerana melihat semangat dan karakter yang betul,” kata De Zerbi kepada Sky Sports.

Bryan Mbeumo meletakkan United di depan ketika pasukan itu diasak Tottenham. Namun, Rodrigo Bentancur dilayangkan kad merah selepas menanduk Luke Shaw, sekali gus memberi peluang kepada penyokong tuan rumah untuk mengharapkan kemenangan yang amat diperlukan.

Harapan itu bagaimanapun berkecai apabila tandukan Solanke pada minit ke-92 memastikan Tottenham membawa pulang satu mata.

“Kami menderita sepanjang perlawanan. Saya suka situasi yang kami hadapi selepas kad merah itu. Kami memerlukan situasi seperti ini.

“Kami tidak menerima kekalahan begitu sahaja. Kami perlu bertindak balas dengan apa jua cara yang mampu,” tambah De Zerbi.

Tottenham tidak mengalah walaupun kekurangan seorang pemain, sebaliknya terus berjuang sehingga Solanke menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Keputusan itu memberi lebih banyak kelegaan kepada Spurs berbanding tuan rumah, meskipun kedudukan mereka dalam liga masih membimbangkan.

Spurs, yang membelanjakan lebih 300 juta pound (RM1.575 bilion) dalam pasaran perpindahan sebelum musim bermula, gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan liga pertama buat kali keempat dalam sejarah kelab itu.

Namun, De Zerbi percaya aksi menentang United menunjukkan pendekatan permainannya mula diterapkan dengan baik oleh pemain.

“Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan pendekatan bola sepak ini. Jika kami percaya, terus memperbaiki permainan dan beraksi sebagai satu pasukan, kami akan menjaringkan banyak gol serta memenangi banyak perlawanan.

“Jika kami tidak bermain sebagai satu pasukan, semuanya mustahil,” katanya.

Sebaliknya, United tidak mempunyai banyak perkara untuk dibanggakan selepas sekali lagi gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri.

Skuad kendalian Michael Carrick hanya mengutip enam mata daripada enam perlawanan pertama, permulaan terburuk mereka dalam saingan liga sejak musim 1986-87, ketika mereka mengumpul empat mata pada peringkat sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top