Manchester: Michael Carrick berpeluang memberikan impak pertama yang baik dalam tempoh singkatnya sebagai pengurus Manchester United dengan merencatkan impian jiran, Manchester City memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), pada perlawanan esok.
City pula berpeluang merapatkan jurang kepada pendahulu, Arsenal kepada tiga mata di Old Trafford, manakala United memerlukan mata untuk meningkatkan peluang mereka ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Dalam aksi lain liga, Thomas Frank dari Tottenham dan Nuno Espirito Santo dari West Ham berjuang untuk menyelamatkan jawatan mereka apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam derbi London.
Carrick berdepan ujian besar dengan dua pasukan teratas EPL sebagai lawan dalam dua perlawanan pertamanya bersama United.
“Ini adalah sebab kita wujud (perlawanan besar) apabila ada yang lebih mencabar daripada yang lain, tetapi itulah sebab kita di sini. Jadi kita akan hadapi secara terus,” kata Carrick.
Sebelum mencabar Arsenal hujung minggu depan, bekas pemain tengah United dan England itu berpeluang menyemarakkan semula musim yang berisiko terbabas sepenuhnya.
Kekalahan di pusingan ketiga Piala FA kepada Brighton, hujung minggu lalu menyusul prestasi United yang hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan liga sama ada sebelum atau selepas pemecatan Ruben Amorim.
Bagaimanapun, Red Devils masih berpeluang besar untuk tempat di UCL musim depan apabila hanya berada tiga mata di belakang Liverpool yang berada di kedudukan keempat.
Carrick tidak tewas dalam tiga perlawanan sebagai pengurus sementara sebelumnya bersama United selepas Ole Gunnar Solskjaer meninggalkan jawatan pada 2021.
Sejak itu, beliau memperoleh lebih banyak pengalaman kejurulatihan di Middlesbrough, namun disingkirkan pada Jun lalu kerana gagal membawa pasukan naik ke EPL.
“Saya faham tugas ini, apa yang terlibat dan tanggungjawabnya,” tambah Carrick.
“Sekarang saya rasa berada di kedudukan kukuh untuk maju ke hadapan dan mudah-mudahan, berjaya di sini.”
Frank dan Nuno pula setakat ini mampu menangkis spekulasi mengenai masa depan mereka dan kekal mengurus perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur, malam esok.
Spurs hanya menang empat daripada 17 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan jatuh ke tangga ke-14 EPL serta tersingkir daripada kedua-dua piala domestik.
Frank kini berdepan risiko menyertai senarai panjang pengurus yang gagal menonjol di utara London, termasuk Nuno yang hanya bertahan 17 perlawanan sebagai pengurus Tottenham pada 2021.
Jurulatih Portugal itu, yang telah dipecat sekali musim ini oleh Nottingham Forest, hanya mencatat dua kemenangan dalam 16 perlawanan EPL sejak menyertai West Ham pada September lalu.
West Ham amat memerlukan perubahan segera dalam keputusan kerana mereka kini tujuh mata di belakang zon selamat di tangga ke-18.
Pendahulu EPL dan UCL, Arsenal berada di landasan untuk meraih empat gelaran selepas kemenangan di Piala FA dan Piala Liga, minggu ini.
Namun, pasukan Mikel Arteta perlu mengatasi rekod buruk di City Ground menentang Forest yang bersemangat untuk membalas dendam bagi pengurus mereka yang marah.
Arsenal hanya menang satu daripada lima lawatan terakhir ke Nottingham.
Forest tersingkir daripada Piala FA oleh Wrexham dari divisyen kedua menerusi penalti hujung minggu lalu, mencetuskan kemarahan Sean Dyche.
“Ini tidak boleh diterima bagi saya, tetapi ia tidak boleh diterima bagi lencana pasukan,” katanya mengenai prestasi separuh masa pertama pasukannya yang terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum seri 3-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




