am@hmetro.com.my
Marang: Inisiatif melalui Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Coway-Misi Bantuan Banjir membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah ini.
Melalui program berkenaan 800 Kotak Rezeki diagihkan kepada mangsa banjir yang terkesan akibat bencana di daerah Marang.
Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad berkata, kehadiran Harian Metro bersama Coway bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, tetapi membawa mesej solidariti.
Beliau berkata, Harian Metro sentiasa mengikuti perkembangan bencana banjir yang melanda negara melalui laporan berita setiap hari.
“Namun, hari ini kami mahu berada di sini, iaitu di depan mata mangsa yang terjejas akibat banjir, untuk menyatakan bahawa ‘anda tidak bersendirian.’
“Alhamdulillah, hari ini pasukan TKHM Bersama Coway sampai ke Terengganu Darul Iman. Sumbangan yang kami sampaikan hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif CSR Harian Metro dan Coway untuk menyantuni mangsa banjir di sini,” katanya.
Muhamad Safar berkata demikian ketika berucap pada Program TKHM Bersama Coway-Misi Bantuan Banjir di Dewan Sivik Merchang di sini, Khamis lalu.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Marang, Amizan Che Aziz, Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz, Pegawai Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Superintendan Lizal Bujang Ahmad dan Wakil Pegawai Daerah Marang, Azizi Ibrahim.
Menurut Muhamad Safar, sebagai organisasi media yang dekat dengan hati rakyat, pihaknya tidak mahu sekadar melaporkan berita, tetapi kami mahu turun padang menyantuni mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
“Terima kasih kepada Coway atas semangat kerjasama menjayakan misi kemanusiaan ini.
“Pada program ini setiap keluarga akan menerima dua jenis kotak iaitu Kotak Rezeki Keluarga yang mengandungi barangan makanan asas dan Kotak Rezeki Hygiene yang berisi kelengkapan kebersihan diri untuk memastikan kesihatan keluarga terjaga dalam tempoh pasca banjir,” katanya.
Muhamad Safar menegaskan, sumbangan berkenaan mungkin tidak mampu menggantikan kerugian harta benda yang dialami, namun kami berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan dan menceriakan wajah ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, Harian Metro akan terus komited menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan pihak yang ingin membantu dengan mereka yang memerlukan melalui program TKHM.
Sementara itu, PKMD Marang, Amizan Che Aziz, berkata, program itu satu inisiatif murni bertujuan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik, khususnya mangsa bencana banjir di pantai timur terutama di daerah Marang yang turut terkesan akibat bencana banjir.
Beliau yang mewakili pengarah JKM negeri berkata, pihaknya amat berbesar hati melihat pelaksanaan program itu yang juga sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro.
Katanya, Program TKHM itu dilaksanakan dengan sokongan kerjasama strategik bersama Coway Malaysia, yang menyalurkan sumbangan Kotak Rezeki kepada mangsa bencana sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terkesan.
“Dalam hal ini, pihak JKM amat mengalu-alukan kerjasama strategik antara Harian Metro dan Coway Malaysia, khususnya dalam membantu kumpulan sasar JKM dalam kalangan mangsa bencana yang terjejas di daerah Marang.
“Pelaksanaan program menerusi platform TKHM ini diyakini mampu memberi manfaat yang menyeluruh kepada mangsa bencana yang terkesan akibat kejadian yang dialami, sama ada dari sudut kebajikan, kesejahteraan mahupun sokongan moral,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




