Tinggalkan ATM demi ayah

Tinggalkan ATM demi ayah

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Demi menjaga bapanya yang menghidap jantung koronari, Muhammad Ridhuan Abdul Malik sanggup berkorban melepaskan kerjaya tentera yang menjadi impiannya sejak kecil selepas 12 tahun berkhidmat.

Muhammad Ridhuan, 38, yang berkhidmat dari Jun 2012 hingga Jun 2024 di bawah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, keputusan itu bukan mudah, namun tanggungjawab menjaga bapanya, Abdul Malik Abdul Kadir, 69, menjadi keutamaan.

Katanya, ketika kali terakhir bertugas sebagai Penyelia Hal Ehwal Agama pasukan, dia mula menyedari perlunya kerjaya lebih fleksibel supaya dapat mengatur masa dan berada dekat dengan bapanya.

“Memang sayang kerana tentera adalah cita-cita saya sejak kecil, tetapi tuntutan keluarga lebih penting dan perlu saya utamakan.

“Selepas ibu meninggal dunia sembilan tahun lalu dan adik perempuan pula berkahwin serta mengikut suaminya berpindah ke Melaka, ayah tinggal keseorangan.

“Sebagai anak lelaki dan anak sulung, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga ayah walaupun perlu mengorbankan kerjaya saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun bapanya masih mampu menguruskan diri serta aktif ke surau dan masjid, namun keadaan kesihatannya memerlukan peneman terutama jika berlaku kecemasan.

“Saya pernah tengok ayah terbaring di dalam bilik sambil mengadu sakit dada.

“Kami terus bergegas membawanya ke hospital dan syukur Alhamdulillah ayah berjaya diselamatkan.

“Sejak itu saya sedar walaupun ayah nampak sihat dan boleh menguruskan diri, serangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Sebab itu saya mahu sentiasa ada dekat dengannya,” katanya.

Mengenai sara hidup, Muhammad Ridhuan berkata, selepas menamatkan perkhidmatan tentera, dia pernah bekerja sebagai pengurus cawangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan mental selama setahun.

Namun, katanya, keperluan untuk mendapatkan kerjaya lebih fleksibel sekali lagi membuatkannya berhenti kerja sebelum tercetus idea memulakan perniagaan makanan secara but kereta bersama isterinya, Norhima Masrip, 35, di Bandar Baru Uda, Johor sejak Mei lalu.

“Asalnya ini idea isteri. Pada mulanya saya agak keberatan kerana kurang yakin selepas pernah gagal dalam perniagaan sebelum ini.

“Malah, masakan saya pun tidak sesedap mana tetapi isteri banyak memberi semangat untuk mencuba selain mendapat sokongan rakan yang berpengalaman,”katanya yang mempelajari teknik memasak menerusi video masakan pempengaruh masakan di media sosial.

Katanya, mereka memulakan perniagaan yang beroperasi setiap hujung minggu yang diberi nama Spaghetti Weekend dengan hanya satu menu spaghetti tomyam sebelum akhirnya berkembang kepada enam jenis pasta, tiga jenis kek serta biskut.

“Isteri turut belajar menghasilkan pelbagai menu termasuk spaghetti carbonara, bolognese, mac and cheese, cheesecake dan soft cookies.

“Saya bangga dengannya walaupun pada mulanya dia tidak tahu membuat semua juadah itu, tetapi masih gigih belajar sehingga akhirnya dapat menambah banyak pilihan dalam perniagaan kami,” katanya.

Dalam usaha bangkit membina kehidupan baharu, Muhammad Ridhuan berkata, dia masih sempat melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi dan pembangunan sumber manusia di UTM, Skudai serta aktif bersama Mekarr Community untuk memberi sokongan kepada individu berdepan isu kesihatan mental dan masalah kehidupan.

Muhammad Ridhuan berkatq, perubahan kehidupan daripada tentera kepada peniaga bukan sesuatu yang pernah dirancang, namun dia percaya setiap perjalanan mempunyai hikmah tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top