PUTRAJAYA: Inisiatif bantuan kepada rakyat perlu diperluaskan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan ia mesti menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Memuatkan artikel berkaitan…
Inisiatif khas bagi golongan itu terutama dalam pemberian pelepasan cukai tertentu dilihat sejajar dengan tumpuan Belanjawan 2027 yang dijangka akan berusaha meringankan beban sara hidup, meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti dan menjamin kehidupan lebih bermaruah buat rakyat.
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Politik, Pentadbiran dan Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, selain pelepasan cukai individu, kerajaan perlu melihat pelepasan cukai bagi penjagaan anak, perubatan, pendidikan dan tanggungan ibu bapa.
“Pelepasan juga wajar disasarkan kepada isi rumah yang mempunyai tanggungan tinggi supaya manfaatnya sampai kepada keluarga yang benar-benar menanggung kos tersebut.
“Langkah ini boleh dilengkapkan dengan bantuan bersasar untuk kos pengangkutan dan penjagaan anak,” katanya kepada Utusan Malaysia. Belanjawan 2027 ialah Belanjawan Madani Kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi Madani dalam pengemudian negara Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan taklimat kepada media di Putrajaya semalam memaklumkan Belanjawan 2027 berpaksikan tekad jelas bahawa ekonomi negara mesti terus diperkukuh dan pertumbuhan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Saya sedar, pertumbuhan ekonomi sahaja belum memadai jika masih ada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup. Justeru, Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban, melindungi rakyat, membuka peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai dengan lebih adil,” katanya menerusi akaun media sosialnya semalam.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada kuasa beli pekerja dengan menaikkan lantai gaji minimum kerana kenaikan kos sara hidup boleh menghakis nilai gaji, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, kadar gaji minimum semasa adalah sebanyak RM1,700 sebulan dan wajar dinilai secara berkala dengan mengambil kira kos sara hidup, produktiviti serta kemampuan majikan.
Bagaimanapun, katanya, usaha menaikkan gaji minimum perlu ada penetapan kerangka masa jelas dan perlu dibuat secara berperingkat serta mengambil kira perbezaan kemampuan syarikat.
“Syarikat besar yang mencatat keuntungan tinggi boleh dipertanggungjawabkan untuk menyesuaikan gaji pekerja lebih awal.
“Bagi perusahaan kecil dan sederhana, kerajaan boleh menyediakan tempoh peralihan, insentif cukai atau bantuan bersyarat kepada majikan yang menaikkan gaji.
“Pengecualian menyeluruh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan pekerja dalam sektor itu terus menerima gaji rendah,” katanya.
Pada masa sama, katanya, satu langkah segera untuk memastikan isu gaji minimum, hak pekerja dan majikan terbela ialah menaik taraf Jabatan Tenaga Kerja (dahulunya Jabatan Buruh) di bawah Kementerian Sumber Manusia sebagai Suruhanjaya Tenaga Kerja Malaysia.
Katanya, langkah ini penting dengan skop bidang tugas dan kuasa yang lebih luas kepada sebuah suruhanjaya untuk menangani isu gaji, pekerja, majikan dan syarikat di negara ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tumpuan Belanjawan 2027 adalah melibatkan tiga bidang utama iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat dan memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.-UTUSAN.




