Bekas wartawan didakwa rasuah gelaran 'datuk seri'

Bekas wartawan didakwa rasuah gelaran 'datuk seri'

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM36,824.50 dan satu tuduhan memalsukan dokumen berkaitan janji penganugerahan gelaran ‘datuk seri’ sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka tiga tahun lalu.

Nurfateha Othman, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan pada prosiding dijalankan di Hospital Melaka di sini, berikutan tertuduh sedang menjalani rawatan dan dimasukkan ke wad.

Tertuduh didakwa menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk menjanjikan penganugerahan gelaran berkenaan sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikannya.

Bagi pertuduhan pertama, Nurfateha didakwa menerima rasuah RM25,559.50 antara 23 November 2022 hingga 23 November 2023 melalui transaksi atas talian daripada akaun bank milik syarikat isteri kepada ahli perniagaan terbabit.

Pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima rasuah RM2,440 antara 13 Disember 2022 hingga 1 Jun 2023 dan RM8,825 antara 28 Disember 2022 hingga 2 November 2023, melalui transaksi atas talian daripada akaun bank peribadi milik isteri kepada ahli perniagaan sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di negeri ini dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Selain itu, Nurfateha turut didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana memberikan dokumen palsu iaitu Surat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023 kepada ahli perniagaan terbabit pada September 2023 dengan niat untuk menipu, sedangkan tiada sebarang pengurniaan sebenar dibuat.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Elesabet kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor untuk pemerhatian bagi mendapatkan perakuan bertulis daripada Pengarah Perubatan Hospital Psikiatri berhubung keadaan tertuduh.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh yang juga bekas wartawan dan jurugambar sambilan selain kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Februari depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top