Kuala Lumpur : Selepas hampir sebulan menerima rawatan di Hospital Universiti Putra Malaysia (HUPM) yang kini dikenali sebagai Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, dibenarkan pulang ke rumah sejak semalam.
Helmi atau nama sebenarnya Helmi Harun, yang baru menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri akibat kanser, berkata dia bersyukur kerana kini dapat berehat dan menjalani proses pemulihan di rumah.
“Alhamdulillah, selepas hampir 26 hari di hospital, semalam petang saya dibenarkan pulang dan berehat di rumah.
“Saya dinasihatkan untuk makan ubat, jaga pemakanan, jaga minum dan menjalani rawatan susulan dengan doktor. Proses pemulihan ini memerlukan saya mengubah gaya hidup, termasuk cara makan dan minum.
“Doktor beritahu saya perlu sesuaikan diri dengan keadaan baharu ini. Dulu kita makan apa sahaja yang kita mahu, sekarang tak boleh. Semuanya perlu dipantau, termasuk kuantiti makanan, minuman dan waktu makan,” katanya kepada BH Online.
Justeru, Helmi mengakui sistem badannya kini mengalami banyak perubahan selari dengan gaya hidup baharu yang perlu diamalkan.
Katanya, perubahan itu bukan mudah dan memerlukan masa untuk disesuaikan, namun menyifatkannya sebagai satu proses penting demi kesihatan jangka panjang.
“Tidur pun kena cukup. Dulu asal tidur sudah memadai. Sekarang semua kena dipantau, termasuk berat badan yang perlu diperiksa setiap hari.
“Memang agak terkejut dengan budaya hidup baharu ini, tetapi tak mengapa. Demi kebaikan, saya ikut sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, Helmi turut merakamkan penghargaan kepada pihak hospital serta seluruh kakitangan perubatan yang terbabit sepanjang tempoh rawatannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital. Semua kakitangannya sangat profesional dan berbudi bahasa.
“Doktor-doktor dan jururawat memberikan layanan yang sangat baik. Saya amat menghargai usaha mereka. Tanpa mereka, mungkin saya tidak dapat keluar hospital secepat ini,” katanya.
Buat masa ini, Helmi berkata dia akan berehat sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung kepada perkembangan kesihatan dan tindak balas tubuhnya terhadap rawatan.
“Sekurang-kurangnya saya perlu berehat selama tiga bulan. Jika badan memberi respons positif dengan cepat, insya-Allah cepatlah saya pulih. Jika sebaliknya, saya perlu bersabar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




