sukan@hmtro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei hanya selangkah lagi untuk mara ke final pertama mereka musim ini selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Masters Indonesia, hari ini.
Pasangan nombor empat dunia itu mempamerkan satu lagi aksi meyakinkan untuk menyingkirkan gandingan Singapura–Indonesia, Terry Hee–Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-19 dalam aksi suku akhir selama 37 minit di Istora Senayan.
Kejayaan itu menyaksikan Tang Jie–Ee Wei mara ke separuh akhir pertama mereka musim ini selepas sebelum ini terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka India.
Bagaimanapun, juara dunia itu berdepan ujian getir dalam misi ke final apabila dijadual membuat perhitungan dengan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin pada aksi separuh akhir, esok.
Zii Jia akhiri kemarau kemenangan 10 bulan
Rekod pertemuan tidak memihak kepada wakil negara apabila Tang Jie–Ee Wei tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang gandingan China itu, termasuk pada Jelajah Dunia Akhir BWF bulan lalu, selain ketinggalan 2-5 dalam rekod keseluruhan pertemuan.
Sementara itu, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan–M Thinaah turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Yu Jung–Lee Yu Lim.
Pilihan pertama kejohanan itu hanya memerlukan 29 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-9 dalam aksi suku akhir.Ini adalah kali kedua berturut-turut Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir selepas turut melakar pencapaian sama di Terbuka India minggu lalu sebelum tewas di tangan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun.
Sebelum itu, Pearly-Thinaah terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia.
Naib juara dunia itu dijadual berdepan pemenang perlawanan antara gandingan Taiwan, Hsu Ya Ching–Sung Yu Hsuan dengan pasangan tuan rumah Indonesia, Lanny Tria Mayasari–Apriyani Rahayu bagi perebutan tiket ke final.
© New Straits Times Press (M) Bhd




