Farrag Naz, Kamaruddin Mape terima Anugerah Pena Emas MiSHA

Farrag Naz, Kamaruddin Mape terima Anugerah Pena Emas MiSHA

alas.yunos@nst.com.my

Putrajaya: Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengurus Besar On Air Presentation (OAP) Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA Kamaruddin Mape menerima Anugerah Pena Emas MiSHA 2025, hari ini.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Omar Mat Piah bagi meraikan hasil kewartawanan yang memperkasakan pemahaman awam mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Penerima lain termasuk pengamal media daripada Astro Awani, Suria FM, Star Media Group, Bernama Radio, Bahagian Program Radio RTM dan TV AlHijrah.

Majlis penyampaian anugerah itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan acara itu bukan semata-mata meraikan trofi atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya bukti komitmen bersama antara kerajaan, industri dan badan profesional dalam mempromosikan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampan.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) kerana mengangkat anugerah itu ke peringkat ASEAN, dengan penyertaan dari Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Myanmar, India, Filipina dan Indonesia.

Katanya, pencapaian penerima anugerah melambangkan ‘amanah, tanggungjawab dan kepimpinan’, sekali gus menekankan peranan media dalam membentuk kesedaran serta akauntabiliti mengenai keselamatan di tempat kerja di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan lagi isu sampingan tetapi menjadi nadi kepada kesejahteraan dan produktiviti negara.

“Setiap pekerja berhak untuk pulang ke rumah dengan selamat dan dilindungi daripada penyakit, khususnya penyakit yang berpunca daripada tempat kerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top