Perbincangan atasi masalah COVID-19 rakyat Johor

Perbincangan atasi masalah COVID-19 rakyat Johor

JOHOR BAHRU: Rata-rata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang menghadiri perbincangan secara maya berkenaan COVID-19 yang diadakan pertama kali di sini semalam, memberikan komen positif dan berharap diadakan lebih kerap, dengan tempoh perbincangan dipanjangkan.

Speaker Dewan Undangan Negeri Suhaizan Kaiat berkata, perbincangan itu lebih menyentuh secara menyeluruh mengenai pelbagai aspek meliputi pengurusan pandemik COVID-19 di negeri itu.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad itu antara lain menyentuh mengenai proses pemberian vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Seperti kata Menteri Besar, mesyuarat seumpama ini akan diadakan lagi pada masa hadapan. Jadi, saya harap akan lebih kerap dan tertumpu kepada isu yang lebih fokus kepada warga Johor dan tumpuan kepada jalan penyelesaian,” kata di sini, semalam.

Perbincangan itu diadakan susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini yang mahukan supaya semua ADUN berbincang dan memberi buah fikiran yang bernas dalam usaha menangani pandemik dan menyejahterakan rakyat. Difahamkan, perbincangan secara maya itu berlangsung selama lebih tiga jam.

Sementara itu, ADUN Skudai Tan Hong Pin berkata, tempoh perbincangan yang diperuntuk dalam mesyuarat itu sangat singkat dan seharusnya perlu mengambil masa yang lebih panjang, memandangkan Johor mempunyai 56 kerusi ADUN.

Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pertimbangan bagi perolehan sendiri vaksin akan membolehkan lebih ramai lagi rakyat Johor divaksinasi dengan lebih awal untuk mengelakkan lebih banyak kematian akibat COVID-19.

Beliau yang juga ADUN Parit Yaani merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berkata, peruntukan bagi memperolehi vaksin berkenaan boleh menggunakan Rizab Tunai Negeri Johor atau Tabung Amanah Warisan Negeri Johor bagi, menampung pembelian vaksin kerajaan negeri.

“Selain itu kerajaan negeri antara lain perlu mempertimbang untuk membenarkan majikan menampung kos vaksinasi untuk pekerja masing-masing,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Hasni berkata, kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan termasuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan semua pihak berkaitan untuk proses mendapatkan vaksin, termasuk sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.8 juta kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor dalam usaha kerajaan negeri menangani pandemik COVID-19 negeri. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top