Pasar di Pulau Pinang dibanjiri pengunjung

Pasar di Pulau Pinang dibanjiri pengunjung

audreymd@nst.com.my

GEORGETOWN: Pasar dan pasar raya di Pulau Pinang dibanjiri orang ramai, susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi yang bakal berkuat kuasa Selasa ini.

Tinjauan di pasar Chowrasta dekat Jalan Penang di sini, yang mula dipenuhi orang ramai sejak awal minggu ini semakin sesak, dengan masing-masing cuba mendapatkan barang keperluan harian.

Keadaan sama berlaku di pasar dekat Pulau Tikus dan Bayan Baru yang menyaksikan orang ramai beratur panjang menunggu giliran, sebelum dibenarkan memasuki premis perniagaan.

Sementara itu, orang ramai membentuk barisan hampir 100 meter di Sunshine Square Bayan Baru, pasar raya Lotus dan Jaya Grocer.

Peniaga di pasar Chowrasta, Lim Po Lan, 60, berkata kehadiran pengunjung ke premis perniagaan terkenal itu mula menyusut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan sebelum ini, khususnya sejak operasi hanya dibenarkan dibuka pada jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagaimanapun, hari ini orang ramai menyerbu pasar selepas pengumuman perintah sekatan penuh. Lihat saja mereka yang berbaris sebelum dibenarkan masuk, sudah lama saya tidak melihat orang seramai ini.

“Saya percaya keadaan ini hanya untuk beberapa hari saja, sehingga perintah sekatan penuh itu berkuat kuasa,” katanya.

Ditanya keputusan kerajaan melaksanakan perintah sekatan penuh, Po Lan berkata, ia wajar dilakukan bagi menangani penularan kes COVID-19 yang ketika ini merekodkan peningkatan mendadak.

“Saya setuju ia dilaksanakan walaupun perniagaan saya terjejas. Keadaan akan bertambah lebih baik nanti apabila semua rakyat sudah divaksin,” katanya.

Pengunjung, Faselabanu Nasir, 27, dan rakannya yang ingin dikenali sebagai Robita, 30-an, turut menyokong pelaksanaan sekatan penuh bagi mengelak keadaan terus meruncing.

Beliau berkata, kunjungannya ke pasar itu adalah rutin hujung minggu untuk membeli bekalan barangan keperluan rumah bagi tempoh seminggu

“Ini bukan pembelian panik, sebaliknya sudah jadi kelaziman kami datang ke sini pada hujung minggu untuk membeli barang keperluan asas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top