Isteri kepada Along Eyzendy iaitu Hamidah Mohd Yatim memaklumkan keadaan suaminya dilaporkan semakin ktirikal selepas ditidurkan di ICU sejak petang semalam.
Memetik mStar Online, Hamidah berkata sehingga kini doktor masih belum mengenal pasti punca sebenar pendarahan serius dalam perut.
BACA:Along Eyzendy Kini Ditidurkan Di ICU
“Buat masa ini keadaan Along sangat kritikal dan punca sebenar pendarahan dalam perut masih belum dikenal pasti. Keadaannya dilaporkan semakin merosot.
“Pagi tadi doktor lakukan prosedur dan hanya mengeluarkan darah dari perut. Doktor juga tak memberikan harapan yang baik dan menyifatkan keadaannya sebagai sangat teruk. Mendengar penjelasan itu saja dah cukup buatkan seseorang berasa lemah,” katanya.
Sementara itu, Hamidah berkata suaminya mempunyai tahap antibodi yang rendah sekaligus menyebabkan proses pemulihan menjadi sukar serta faktor usia.
“Menurut doktor, kebiasaannya keadaan seperti ini dikategorikan sebagai serius. Along juga mempunyai tahap antibodi yang rendah sejak sekian lama.
“Ditambah dengan jangkitan menyebabkan proses pemulihan menjadi sukar kerana tubuhnya tidak kuat melawan penyakit. Faktor usia turut menyumbang dia menjadi lemah.
“Banyak komplikasi berlaku termasuk kegagalan jantung serta perkara lain tidak dijangka akibat prosedur rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidah turut mengharapkan doa orang ramai agar Along kembali pulih dan sihat, dalam masa sama dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Keluarga cuba mengambil sisi positif kerana fikiran yang positif mampu menguatkan semangat. Saya reda dan ikhlas menerima apa saja ketentuan yang bakal berlaku,” katanya.
Sumber: mStar Online




