Hukuman penjara bekas ADUN Tronoh kekal

Hukuman penjara bekas ADUN Tronoh kekal

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, kekal dipenjara dan disebat atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, selepas dia gagal mendapat kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atasnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah menolak permohonan kebenaran Paul Yong selepas mendapati dia gagal memenuhi ambang peruntukan di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk memulakan semakan.

“Kami berpendapat pihak-pihak telah diberikan peluang sepenuhnya. Tiada berlaku pelanggaran prinsip keadilan asasi.

“Oleh itu, kami menolak permohonan ini,” katanya.

Paul Yong, 55, yang hadir di mahkamah dalam keadaan bergari dan memakai pakaian penjara berwarna oren, tenang sepanjang prosiding. Ahli keluarganya turut berada di mahkamah.

Dia memfailkan permohonan kebenaran untuk menyemak dan mengetepikan keputusan panel terdahulu Mahkamah Persekutuan, pada Oktober tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebelum ini mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu, dan menolak rayuan akhir Choo Kiong terhadap sabitan dan hukuman lapan tahun penjara serta dua sebatan terhadapnya.

Hakim, Wan Ahmad Farid ketika membaca penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu ialah selamat selain hukuman yang diputuskan Mahkamah Rayuan, bersesuaian.

Katanya, terdapat kejadian rogol dan tanpa persetujuan mangsa, dan ia dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Mengenai isu ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengemop air mani dalam bilik, panel berpendapat bukti itu hanya bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol di luar keraguan munasabah.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.

Kemudian Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadap Paul Yong. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top