Tiga tekong darat lolos, 24 migran ditahan

Tiga tekong darat lolos, 24 migran ditahan

TUMPAT: Tiga tekong darat dipercayai menjadi dalang sindiket penyeludupan migran bertindak melarikan diri selepas diserbu polis di kawasan sungai Pasir Pekan Hulu, Wakaf Bharu, di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi itu, seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak telah ditahan selepas sepasukan anggota polis berjaya memintas tiga buah kenderaan yang digunakan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati kesemua migran itu memasuki Malaysia secara haram melalui laluan sungai dengan menaiki bot dari Thailand.

Katanya, semakan lanjut mendapati kesemua mereka yang berusia dua hingga 42 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“24 migran yang ditahan itu daripada warganegara Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan.

“Kesemua migran bersama kenderaan yang dirampas telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Khairie memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN

Scroll to Top