'Taj Mahal karya hebat' – PM

'Taj Mahal karya hebat' – PM

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempat meluangkan masa menghadiri sesi pratonton khas filem epik sejarah Taj Mahal: An Eternal Love Story, di sebuah pusat beli belah di sini, malam ini.

Anwar yang tiba kira-kira 8 malam, meluangkan masa menonton filem berkenaan yang diarahkan sahabat lamanya, Akbar Khan.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Gerald Hans Isaac.

Perdana Menteri yang ditemui pemberita, berkata ia adalah hasil karya yang hebat.

“Hasil kerja yang sungguh hebat. Beliau telah melakukannya dengan sangat baik,” katanya.

Filem Taj Mahal: An Eternal Love Story, menceritakan kisah cinta agung antara Maharaja Mughal Shah Jahan dan Mumtaz Mahal.

Selepas 22 tahun tayangan asalnya di India, mahakarya sinematik yang memenangi pelbagai anugerah ini diberikan nafas baharu melalui restorasi digital 4K yang menyeluruh, diiringi dengan adunan semula bunyi Dolby Atmos.

Malaysia menjadi destinasi pertama jelajah antarabangsa filem hasil kreatif Akbar itu sebelum siri jelajah itu ke Indonesia pada 13 Februari, dan ke destinasi lain termasuk Rusia, Asia Selatan dan Asia Barat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top