Malaysia sasar kedudukan tangga ke-25 CPI menjelang 2033

Malaysia sasar kedudukan tangga ke-25 CPI menjelang 2033

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu mengembleng bahu dan tenaga bagi memastikan sasaran tangga ke-25 kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada 2033 tercapai.

Pakar Pasukan Petugas Khas CPI merangkap Ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Dr Mazlan Ahmad berkata, dari konteks perniagaan antarabangsa apabila CPI tidak bagus, maka kos untuk membuka perniagaan juga akan meningkat.

Menurutnya, sebagai contoh, jika hari ini untuk membuka syarikat di Malaysia dengan kos RM10,000 tetapi akibat campur dengan persepsi rasuah ia boleh menjadi RM20,000 hingga RM30,000.

“Dan apa yang berlaku kepada rakyat? Bila kos membuka perniagaan tinggi, peluang pekerjaan kurang, peluang perniagaan kurang, kemakmuran juga akan menurun.

“Produktiviti kita akan menurun. Jadi secara tidak langsung ekonomi negara akan merosot,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi, hari ini.

Mazlan berkata, berbanding negara jiran Indonesia kedudukan CPI mereka 115 dan jauh beza dengan Malaysia di kedudukan 57 pada 2024.

“Sebab itulah kita lihat apa yang berlaku di sana. Jadi, tidak… mustahil juga akan berlaku di Malaysia kalau kita tak ambil cakna tentang CPI.

“Walaupun hanya persepsi (ada rasuah), tetapi digunapakai sebagai alat pengukur bagaimana sesebuah negara boleh menarik pelaburan, baik secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata, sebab itu hari ini, tanggungjawab untuk mencapai CPI yang lebih baik diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebab itu kita tubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI untuk CPI dan Yang Amat Berhormat (Anwar) menyasarkan pada 2033, berapa tahun daripada sekarang, kita akan naik daripada 2024 tangga 57 ke tangga 25.

“Insya-Allah tahun ini, bagi tahun 2025 kedudukan CPI akan diumum 10 Februari ini,” katanya.

Katanya, pihaknya mengharapkan kedudukan CPI akan menaik dan lebih baik daripada tahun lepas.

“Sasaran kita pada 2033 kita mengharapkan akan mencapai dan saya amat yakin semangat positif bahawa perkara ini boleh dicapai.

“Sebab itu kita tidak boleh buat kerja secara ‘silo’. Semua pihak kena gembleng bahu dan tenaga untuk memastikan nombor keramat ini, 2533 dapat dicapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top