am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dan seorang wanita di kawasan perumahan Seksyen U13, Setia Alam di sini tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan itu dari seorang lelaki yang juga ahli keluarga kepada mangsa wanita.
Menurutnya, lelaki berkenaan memaklumkan menjumpai mayat simati bersama seorang lagi mangsa iaitu mayat lelaki di rumah sewa milik adiknya.
“Siasatan awal polis bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati keadaan rumah itu bertutup, tiada kenderaan dan pintu besi hadapan tidak berkunci.
“Kedua-dua simati berada di dalam bilik di tingkat bawah dan mayat kedua duanya sudah mereput.
“Keadaan di dalam rumah sewa simati teratur dan tiada unsur kejadian jenayah berlaku. Tiada sebarang kecederaan pada bahagian tubuh badan kedua-dua simati,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Ramsay berkata, kedua-dua mayat akan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat.
“Setakat ini siasatan dibuka sebagai mati mengejut (SDR) dan kertas siasatan akan diambilalih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6, Shah Alam.
“Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Ketua Polis Balai Seksyen 6, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa dikenali sebagai Iman, 31, mendakwa dia dan isteri sering mendengar pasangan itu bergaduh siang dan malam.
“Mereka selalu bertengkar, di dalam atau di luar rumah, pada waktu malam dan siang. Tetapi pertengkaran itu reda sekitar dua minggu lalu.
“Saya bertanya kepada isteri sama ada penghuni sudah berpindah atau terpaksa keluar, kerana sebelum ini mereka sangat bising, mungkin ada yang buat aduan.
“Kami fikir mungkin ada yang mengadu dan mereka sudah berpindah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, isterinya terhidu bau busuk beberapa hari lalu.
“Kira-kira tiga hari lalu, isteri saya sedang mencuci pakaian di bahagian belakang dan perasan bau busuk. Ketika itu, dia menyangka ada kucing mati.
“Tiada seorang pun daripada kami menjangkakan akan ada mayat di dalam rumah itu,” katanya.
Iman berkata, dia terkejut apabila polis kemudian tiba di lokasi dan mengesahkan penemuan mayat.
“Apabila saya pulang, polis sudah berada di sini dan sedang mencari saksi. Mereka bertanya apa yang saya tahu dan saya memberitahu mereka segala-galanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




