Stadium terbesar dunia milik Vietnam muat 135,000 penonton

Stadium terbesar dunia milik Vietnam muat 135,000 penonton

London: Vietnam semalam berkongsi imej reka bentuk menakjubkan stadium bola sepak terbesar di dunia yang dijangka mengatasi kehebatan venue ikonik seperti Old Trafford dan Wembley.

Pembinaan stadium mega bersaiz 135,000 tempat duduk itu telah bermula sebagai sebahagian daripada projek besar Olympic Sports City yang akan menelan belanja Kerajaan Hanoi sebanyak £28 bilion (RM149 bilion).

Rancangan untuk membina stadium yang mencipta rekod dunia, Stadium Trong Dong diluluskan pada Disember lalu, dengan pegawai menyatakan ia akan menjadi tuan rumah kepada acara sukan, budaya, dan sosio-politik berskala besar.

Vietnam berharap pembangunan bandar mega itu akan meningkatkan reputasinya di peringkat antarabangsa, dengan arena bertaraf tinggi ini menjadi pusat utama.

Reka bentuk Stadium Trong Dong diinspirasikan daripada gendang gangsa Dong Son, simbol tamadun purba Vietnam yang melambangkan semangat komuniti, kekuatan dan ketahanan.

Arkitek menyatakan matlamat mereka ialah menggabungkan budaya tradisional kaya negara dengan fasiliti futuristik bertaraf tinggi yang akan meningkatkan prestij Vietnam.

Wembley, Stadium Sarang Burung di China dan Stadium Lusail di Qatar disebut sebagai inspirasi untuk projek berani ini, dengan penganjur yakin venue-venue tersebut telah menaikkan status negara masing-masing.

Dengan kapasiti melebihi 135,000 penonton, Stadium Trong Dong akan mengatasi Stadium Rungrado di Korea Utara (114,000 tempat duduk) dan Stadium Hassan II di Casablanca, Maghribi (115,000 tempat duduk) yang sedang dibina menjelang Piala Dunia 2030.

Penganjur mendakwa arena terbabit akan mempunyai bumbung retractable terbesar di dunia dan membolehkan Vietnam menganjurkan acara antarabangsa utama seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Stadium ini direka khas untuk bola sepak, membezakannya daripada banyak kompleks serbaguna lain yang dilengkapi litar olahraga.

Majlis pecah tanah diadakan pada Disember sebelum projek dimulakan, dengan stadium dijangka siap menjelang Ogos 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top