SHAH ALAM: Pelakon, Qistina Raisah yang namanya kembali dikaitkan susulan kontroversi melibatkan dua rakan seperjuangan, Mia Sara dan Puteri Balqis, menegaskan isu lama yang pernah berlaku wajar dijadikan pengajaran dan tidak diperbesarkan.
Qistina atau nama penuhnya Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri, 18, berkata, dia memilih untuk tidak mencampuri urusan orang lain demi menjaga ketenangan diri serta fokus kepada kehidupan peribadi.
“Throwback (imbau kembali) tidak mengapa, tapi kalau macam sekarang ini saya okey sahaja. Saya pun sebenarnya tak tahu apa-apa. Saya hanya tahu isu itu tular selepas dua atau tiga hari kerana terlalu sibuk di Brunei.
“Kalau nak ingatkan balik sebagai pengajaran, saya tiada masalah. Tapi kalau lebih-lebih, saya memang tak mahu masuk campur.
”Saya mahu fokus kepada keluarga, hidup dan perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Bayu Somerset X Machino, baru-baru ini.
Mengulas mengenai namanya yang kembali menjadi sebutan netizen, pelakon filem Rahsia itu mengakui tidak terkejut dan menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri fakta berdasarkan perspektif masing-masing.
“Reaksi saya biasa sahaja sebab sudah biasa nama dipetik secara tiba-tiba. Isu itu pun sudah beberapa tahun.
“Orang boleh periksa fakta dan baca sendiri. Pendapat masing-masing berbeza, kalau orang rasa saya salah, maka salah jugalah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Qistina menegaskan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana pihak dan lebih selesa mengamalkan sikap rendah diri apabila berjumpa rakan artis.
“Saya baik dengan semua orang. Kalau orang tegur saya, saya tegur balik. Kalau jumpa, saya salam dan bertegur sapa. Kalau ada yang tidak mahu melayan, tidak mengapa.
“Saya memang tak pernah ada dendam dengan sesiapa. Kita nak bersihkan hati. Kalau benci orang, kita yang sakit hati dan serabut sendiri,” katanya.
Sebelum ini, media sosial hangat apabila Puteri Balqis didakwa ‘menempelak’ Mia Sara agar menyelesaikan isu lama antara mereka, selain mendakwa pelakon berusia 21 tahun itu pernah memalukan ibunya.
Kontroversi tersebut turut mengaitkan nama Qistina berikutan dakwaan konflik lama melibatkan dirinya dan Balqis. Bagaimanapun, Qistina memilih untuk tidak lagi memanjangkan isu berkenaan demi kebaikan semua pihak.




