Kota Bharu: Tarikh Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi memilih pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya boleh dimuktamadkan selepas mencapai kata sepakat presiden empat parti komponen gabungan itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, tarikh mesyuarat masih belum ditetapkan kerana ia bergantung kepada persetujuan semua pemimpin parti dalam PN.
“Tarikh belum ditetapkan lagi. Kita bergantung kepada semua presiden empat parti dalam PN.
“Saya sudah memohon kata sepakat daripada kesemua mereka supaya kita boleh bersetuju mengenai satu tarikh bersama-sama.
“Masih ada yang belum memberikan maklum balas,” katanya kepada pemberita pada majlis Tahun Baharu Cina 2026 di sini, malam tadi.
Beliau berkata, PN kini dalam proses merancang Mesyuarat Majlis Tertinggi berkenaan dan berharap BERSATU dapat menyelesaikan isu dalaman parti sebelum mesyuarat diadakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




