KUALA LUMPUR: Peruncit perkakas rumah, MR D.I.Y. mempamerkan keprihatinannya terhadap komuniti pekak & bisu semasa Hari Raya ini melalui filem web ‘Kerana Azman’. Iklan tersebut telah meraih sambutan yang begitu menggalakkan daripada rakyat Malaysia dengan sebanyak 2,780 perkongsian di media sosial. Di bawah kempen “You Share, We Donate”, jumlah perkongsian yang diterima dari 30 April hingga 17 Mei 2021 telah ditukarkan sebagai sumbangan berjumlah RM2,780 yang disalurkan oleh peruncit tersebut kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
Iklan berdurasi 4 minit tersebut telah dimuat naik ke laman rasmi Facebook MR D.I.Y. sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Filem ini diinspirasikan daripada kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Azman yang pekak dan bisu. Walaupun dengan keadaan dirinya yang sedemikian, beliau telah mengumpul dan menjual barangan yang boleh dikitar semula untuk membeli makanan yang kemudiannya disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. Yusuff, pengasas Yayasan Azman, yang mengenali Azman sejak kecil, telah mengasaskan NGO tersebut untuk memperingati sikap Azman yang baik hati dan tidak mementingkan diri, dan kerana beliau menyedari kepentingan untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Sumbangan tersebut disalurkan kepada MFD dalam bentuk baucar tunai MR D.I.Y. semasa majlis penyerahan yang diadakan pada hari Khamis, 27 Mei 2021.
“Ini merupakan tahun ketiga MR D.I.Y. menggabungkan unsur Tanggungjawab Sosial Korporat ke dalam filem web, dengan tujuan menggalakkan rakyat Malaysia memperingati komuniti yang kurang bernasib baik semasa musim perayaan ini. Ia sudah menjadi tradisi kami untuk menghasilkan kisah yang bermakna seperti ‘Kerana Azman’ yang berkait dengan komuniti yang kurang bernasib baik supaya mereka tidak dilupakan dan diabaikan,” kata Andy Chin, Naib Presiden Pemasaran, MR D.I.Y. Grup
“Komuniti kelainan upaya memainkan peranan yang penting dalam operasi perniagaan MR D.I.Y. Kami menghargai dedikasi mereka dan sentiasa berusaha menawarkan peluang yang sama rata kepada mereka. Di mata kami, mereka adalah kakitangan yang cemerlang dan berkebolehan, sama seperti kakitangan kami yang lain. Kami berterima kasih keapda rakyat Malaysia atas keprihatinan dan sokongan mereka dengan berkongsi iklan Raya kami yang menampilkan komuniti pekak & bisu. Kami berharap agar sumbangan kepada MFD akan membolehkan kami menyokong inisiatif perusahaan sosialnya, dengan membantu mereka mendapatkan bekalan yang diperlukan dari MR D.I.Y. di samping menjana pendapatan buat organisasi tersebut. MR D.I.Y. akan terus menghargai rakan-rakan yang berkelainan upaya dan menawarkan bantuan, sedaya upaya kami,” tambah Chin.
MFD adalah sebuah NGO yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia. Diasaskan pada tahun 1997, MFD telah memainkan peranan dalam membangunkan komuniti pekak & bisu di peringkat kebangsaan, dengan menawarkan pendidikan awal kanak-kanak kepada kanak-kanak yang pekak & bisu, perusahaan sosial, latihan persediaan untuk bekerja kepada golongan dewasa dan sebagainya. Bagi mengurangkan jurang antara komuniti pekak & bisu dengan masyarakat, MFD juga menawarkan latihan bahasa isyarat dan perkhidmatan penterjemahan kepada orang ramai, MFD kini mengusahakan sebuah kafe di bawah perusahaan sosial untuk menjanan pendapatan buat komuniti pekak & bisu di Tingkat 3A, Tangga 3, Menara KLH yang diuruskan sepenuhnya oleh kakitangan pekak & bisu.
Sebelum ini, MR D.I.Y. telah menghasilkan 2 lagi iklan semasa perayaan Tahun Baru Cina dan Krismas pada tahun 2020 di bawah kempen yang sama “You Share, We Donate”. Kedua-dua inisiatif tersebut masing-masing meraih sejumlah RM7,130 dan RM4,220 untuk Green Pastures Senior Life Home dan Malaysia Relief Agency (MRA).
Press Release
Malay News