Pahang sasar 15.5 juta pelancong tahun ini

Pahang sasar 15.5 juta pelancong tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang menyasarkan 15.5 juta pelancong ke negeri itu tahun ini, selepas merekodkan kedatangan 15.2 juta pelancong tahun lalu, dengan menawarkan 50 acara pelancongan termasuk bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, pada masa sama, prestasi pelancongan negeri itu menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila merekodkan anggaran perbelanjaan pelancong berjumlah RM13.72 bilion.

Katanya, kerajaan negeri melalui Tourism Malaysia menyasarkan 14 juta pelancong tahun lalu dan tidak menjangkakan 15.2 juta pelancong memilih Pahang sebagai destinasi percutian.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan positif 11.21 peratus berbanding 13.7 juta pelancong pada 2024.

“Jumlah ini hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian. Jika jumlah pelancong harian diambil kira, jumlah pelancong lebih ramai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Yun Man berkata, Genting Highlands antara 20 destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa dengan kedatangan 8.61 juta pelancong sepanjang tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik, destinasi pelancongan kedua tertinggi ialah Kuantan yang merekodkan kedatangan seramai 2.21 juta pelancong, diikuti ketiga, Cameron Highlands dengan jumlah 1.37 juta pelancong.

“Tiga destinasi pelancongan ini antara penyumbang terbesar daripada 15.2 juta pelancong yang berkunjung ke Pahang.

“Pencapaian ini membuktikan Pahang terus menjadi destinasi pelancongan utama negara yang membawa impak ekonomi yang jauh lebih besar kepada negeri dan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top