am@hmetro.com.my
Jeli: Seramai 20 pengamal media antara lebih 1,000 penerima bantuan di lima negeri yang disumbangkan Islamic Aid Malaysia (IAM) bagi meringankan beban mereka sempena Ramadan.
Presiden AIM, Zawahir Abdullah, berkata pemilihan pengamal dan bekas media sempena Program Jelajah Kemanusiaan bertemakan ‘Kasih Ramadan’ itu adalah julung kali dilakukan berbanding sebelum ini pengagihan membabitkan asnaf semata-mata.
Katanya, ramai yang terlepas pandang kumpulan media juga antara yang memerlukan bantuan terutama mereka yang mempunyai anak ramai selain berdepan masalah penyakit.
“Justeru sempena bantuan menyambut Ramadan kali ini, seramai 1,020 penerima yang dipilih di lima negeri termasuk termasuk Kelantan dengan 20 daripadanya adalah pengamal dan bekas pengamal media.
“Bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas serta wang tunai itu diharap sedikit sebanyak membantu mereka membuat persiapan Ramadan.
“Kita juga bekerjasama dengan kelab media di negeri berkenaan bagi membuat pemilihan media yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh di Kelantan, enam pengamal dan bekas media yang menerima bantuan dan sembilan orang dari Terengganu,” katanya pada satu program di Masjid Mukim Sungai Long, Batu Melintang di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 200 penerima yang terpilih menerima bantuan berkenaan.
Sementara itu, bekas wartawan sambilan Harian Metro, Ramli Hussin, 63, meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang dihulurkan.
“Sumbangan ini amat membantu sekali gus membolehkan saya membuat persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
“Saya berterima kasih dengan bantuan ini walaupun tidak lagi berada dalam bidang ini, namun masih ada yang menghargai dan menyampaikan sumbangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



