am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor untuk Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM8, RM16 dan RM25 seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd Khaidzir Shahari berkata kadar berkenaan ditetapkan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata, penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
“Kadar RM8 adalah bagi individu yang memakan Beras Super Spesial Tempatan atau Beras Putih Import manakala RM16 pula bagi mereka yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang.
“Bagi individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun/Calrose, Beras Merah atau Beras Hitam pula ditetapkan pada kadar RM25,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan, Zakat Selangor melantik lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh Selangor.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah hanya kepada PAF yang dilantik secara rasmi.
“Pada tahun ini, PAF di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak menggunakan
aplikasi mudah alih sepenuhnya dalam urusan kutipan yang mana pembayar akan menerima slip pengesahan bayaran secara digital sebaik transaksi dibuat dan semakan boleh dilakukan melalui sistem EZO.
“Di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat, pembayaran masih dibuat menggunakan buku kupon fitrah selain turut disokong aplikasi sama,” katanya.
Mohd Khaidzir berkata, pembayaran turut boleh dibuat melalui aplikasi ZPay di kaunter sementara yang dibuka di lebih 200 premis terpilih bagi urusan tanpa tunai melalui FPX, kad kredit atau debit, e-wallet serta QR DuitNow.
Beliau turut menggalakkan umat Islam di Selangor menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, 19 cawangan Zakat Selangor dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bagi memudahkan urusan pembayaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




