F1 GP Bahrain: Shuttle bas panjang berjela? Bukan cari salah siapa! Fokus penambahbaikan – MP Sepang

F1 GP Bahrain: Shuttle bas panjang berjela? Bukan cari salah siapa!  Fokus penambahbaikan – MP Sepang

Isu barisan panjang menunggu bas perantara serta dakwaan kawalan orang ramai yang kurang teratur di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) perlu dijadikan ruang untuk memperkemas operasi sepanjang penganjuran Formula 1 (F1).

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tumpuan ketika ini seharusnya diberikan kepada tindakan segera bagi memastikan pergerakan pengunjung lebih lancar selain aspek keselamatan dan keselesaan mereka terus terjamin.

Menurut beliau, aduan yang diterima tidak sepatutnya berakhir dengan perdebatan mengenai pihak yang perlu dipersalahkan, sebaliknya setiap kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki secepat mungkin.

“Penganjuran ini berlaku dalam tempoh persediaan yang agak singkat. Jadi memang ada perkara memerlukan ‘fine-tuning’ apabila operasi sebenar berhadapan dengan jumlah pengunjung yang besar dan keadaan di lapangan.
“Yang penting, cadangan saya kepada pihak urusetia dan bahagian operasi agar apabila kita menerima maklum balas dan aduan, kita tidak boleh berhenti pada soal siapa yang silap.
“Kita mesti lihat apa yang perlu diperbaiki, siapa yang bertanggungjawab dan berapa cepat tindakan boleh dibuat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Aiman Athirah berkata, situasi berkenaan juga tidak wajar dilihat sebagai konflik antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dengan agensi tempatan kerana ia melibatkan proses penyelarasan operasi sebuah acara antarabangsa berskala besar.

Ketika ini, pihak penganjur bersama agensi berkaitan sedang memperkemas beberapa aspek termasuk mobiliti, aliran pengunjung, pengangkutan ulang-alik, keselamatan dan kemudahan asas.

Beliau menegaskan setiap maklum balas pengunjung perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit supaya pengalaman mereka dapat ditambah baik sepanjang acara berlangsung.

“Jadi bagi saya, ini bukan soal ‘friction’. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan pengalaman pengunjung hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini,”ujar beliau.

Dalam masa sama, Aiman Athirah berpandangan pengalaman dan kepakaran pihak Bahrain perlu digabungkan dengan keupayaan agensi tempatan bagi memastikan operasi di lapangan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

“Kita alu-alukan kepakaran dan pengalaman Bahrain, dan pada masa yang sama kita mempunyai pengalaman serta keupayaan agensi tempatan.
“Yang kita perlukan ialah kedua-duanya benar-benar ‘gel together’ di lapangan demi keselamatan, keselesaan dan kelancaran pengunjung,” katanya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan setiap isu yang dibangkitkan pengunjung ditangani dengan segera, sekali gus membantu meningkatkan mutu pengurusan acara antarabangsa di negara ini.

Scroll to Top