puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penyanyi, Misha Omar memaklumkan terpaksa menangguhkan impian untuk menganjurkan konsert ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri seni pada tahun hadapan.
Misha, 45, berkata walaupun konsert berkenaan dianggap satu detik emas buat dirinya, dia terpaksa mengetepikan seketika perancangan atas beberapa faktor.
“Sepatutnya tahun depan adalah tahun yang sangat ‘golden moment’ untuk saya meraikan 25 tahun penglibatan dalam industri. Saya memang impikan untuk menganjurkan konsert di stadium pada hujung tahun.
“Bagaimanapun, melihatkan agenda yang banyak pada tahun depan seperti penganjuran Sukan SEA dan sebagainya. Saya fikir terdapat agenda yang lebih besar dijangka akan berlaku.
“Kalau boleh kita nak semuanya berjalan aman-aman sahaja dan tidak mahu ada perkara terlalu besar berlaku dalam tempoh itu. Jadi, kita buat keputusan untuk ‘postponed’ (tangguh) dan tiada konsert ulang tahun untuk tahun depan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Meskipun reda dengan penangguhan itu, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini kekal positif dan bersyukur kerana masih berpeluang berinteraksi dengan peminat menerusi penganjuran showcase.
“Tidak apalah, kita tunggu sahaja setahun lagi. Insya-Allah, jika dipanjangkan umur, kita boleh sambut untuk tahun seterusnya.
“Buat masa ini, saya tetap bersyukur kerana masih dapat berjumpa peminat di persembahan showcase,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai persediaan yang sudah dibuat, Misha berkata, perancangan awal untuk konsert berkenaan sudah bermua termasuk perkongsian idea bersama komposer tersohor dari Indonesia.
“Sebenarnya perancangan (konsert) memang sudah bergerak. Baru-baru ini saya ada ke Indonesia untuk bertanyakan hal berkenaan memandangkan saya pernah bekerjasama dengan Tohpati dan Melly Goeslaw sebelum ini.
“Banyak benda yang dibincangkan, tetapi saya percaya kadang-kadang kita tidak boleh dapat semua benda dalam satu masa,” kongsinya.
Dalam pada itu, Misha tidak menafikan wujud perasaan ralat apabila dimaklumkan berita penangguhan konsert berkenaan, namun memilih untuk menganggap ia secara positif demi memberi ruang kepada perancangan lebih teliti.
“Saya memang sedih apabila diberitahu konsert tidak dapat dilaksanakan tahun depan disebabkan pelbagai agenda yang akan berlaku. Jadi, tidak mengapa untuk bertahan sebentar dan berikan ia sedikit masa.
“Kadang-kadang perspektif kita akan lebih baik apabila kita menjauhkan diri seketika daripada apa yang dirancangkan. Kadang-kadang bagi lebih masa akan mungkin lebih baik perancangannya. Saya positif begitulah.
“Keberadaan saya dalam industri muzik menuntut saya untuk sentiasa bekerja keras. Tiada istilah perkara yang mudah, sebaliknya saya perlu terus bertahan dan berjuang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Misha bakal menemui peminat menerusi sebuah showcase eksklusif berjudul ‘Aku & Lelaki’ yang akan berlangsung pada 24 Oktober depan di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




