Kes dadah di Jakarta, tempoh tahanan juruterbang Malaysia dilanjutkan

Kes dadah di Jakarta, tempoh tahanan juruterbang Malaysia dilanjutkan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta berhubung siasatan penyeludupan dadah, masih dalam tahanan, selepas pihak berkuasa Indonesia melanjutkan tempoh penahanannya melebihi tempoh asal 60 hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkembangan terkini itu oleh Direktorat Jenayah Narkotik Polis Indonesia.

“Pihak polis (Malaysia) dimaklumkan oleh pihak berkuasa narkotik Indonesia. Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan penilaian.

“Mereka melanjutkan tempoh reman (juruterbang) berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Hussein berkata, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan kepada polis Malaysia bahawa suspek sudah menjalani tempoh tahanan awal selama 60 hari.

Suspek itu kini ditahan di bawah perintah mahkamah untuk tempoh 30 hari lagi.

“Tempoh ini boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi,” kata Hussein, memetik maklumat terkini daripada pihak berkuasa Indonesia.

Beliau berkata, seorang lagi juruterbang dan enam individu lain yang ditahan di Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu dikenakan perintah tahanan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia berhubung dakwaan pembabitan kakitangan syarikat penerbangan Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Kes ini mendapat perhatian susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Julai lalu.

Pihak berkuasa Indonesia pada masa itu merampas 15 bungkusan yang mengandungi kira-kira 70,000 kapsul yang disyaki berisi pil ekstasi dan methamphetamine, dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram (kg).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top