13 pemimpin BERSATU dipecat

13 pemimpin BERSATU dipecat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 13 pemimpin BERSATU sudah dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti itu setakat petang ini.

Sumber parti itu yang dihubungi memaklumkan, selain Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan tiga Ahli Parlimen serta seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), turut dipecat sembilan Ketua Bahagian BERSATU.

Katanya, selain Ketua Bahagian BERSATU Padang Rengas yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan, pemimpin bahagian lain dipecat adalah Ketua bahagian BERSATU Larut, Mohd Hassuandi Hamzah.

Selain itu, katanya Setiausaha BERSATU Sabah yang juga Ketua bahagian BERSATU Libaran, Yunus Nurdin;Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Telok Intan); Dr Mohd Yadzil Yaakub (Jasin) serta Mhod Yunus Yusop yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tapah, juga dipecat.

“Notis pemecatan sudah dikeluarkan Lembaga Disiplin parti. Tak pasti ada lagi senarai pemimpin yang dipecat atau tidak. Di luar pengetahuan kami,” katanya ketika dihubungi.

Sementara ADUN dipecat iaiah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Terdahulu, media melaporkan Hamzah yang juga ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Larut dipecat keahlian partinya serta merta.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.

“(Pemecatan) berkuat kuasa mulai 13 Februari 2026 (hari ini) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu dalam satu notis yang dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, memaklumkan lembaga yang bersidang semalam itu memutuskan pemecatan berkenaan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sebelum ini digantung keahliannya dalam parti, kini juga dipecat.

Turut dipecat, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top