Stroll akui Aston Martin masih jauh ketinggalan

Stroll akui Aston Martin masih jauh ketinggalan

Silverstone: Pasukan Formula Satu Aston Martin perlu bekerja keras untuk mengejar pesaing selepas ujian pra-musim yang menunjukkan jurang prestasi ketara, menurut pemandu Kanada, Lance Stroll.

AMR26, kereta pertama pasukan di bawah tunjuk ajar jurutera terkenal Adrian Newey, yang menyertai dari Red Bull Mac tahun lalu, masih belum mencapai tahap optimum.

“Kami masih belajar kereta dan enjin, tapi banyak kerja perlu dilakukan untuk mengejar pesaing. Kami kehilangan kira-kira 400 pusingan berbanding pasukan lain sejak ujian di Barcelona,” kata Stroll.

Stroll menjelaskan pasukan perlu menguasai gabungan aspek seperti enjin, keseimbangan dan cengkaman.

“Sekarang kami nampak empat saat di belakang pasukan teratas. Kami perlu cari empat saat prestasi,” tambahnya.

Rakan sepasukan, Fernando Alonso, turut bersetuju Aston Martin masih perlu meningkatkan prestasi.

“Kami sedikit ketinggalan, tapi harap ada masa untuk memperbaiki. Tiada keraguan mengenai casis kami, Adrian Newey akan pastikan kami akhirnya ada kereta terbaik,” katanya.

Alonso menambah, prestasi enjin Honda baharu juga perlu diuji sepenuhnya sebelum pasukan dapat menilai kekuatan sebenar.

Aston Martin menamatkan musim lalu di tangga ketujuh dan kini memulakan kerjasama eksklusif dengan Honda selepas sebelum ini menggunakan enjin Mercedes.

Musim baharu akan bermula di Australia pada 8 Mac ini, dan pasukan berharap masa ujian selebihnya memberi ruang untuk mengurangkan jurang dengan pesaing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top