mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi legenda Datuk DJ Dave bersyukur dapat meraikan ulang tahun kelahiran ke-78 bersama 40 kanak-kanak istimewa di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini, hari ini.
Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah berkata, dia gembira dapat meluangkan masa bersama kanak-kanak terbabit dan menggembirakan mereka.
“Setiap tahun saya tak pernah terlepas buat majlis ini. Alhamdulillah…syukur kepada Allah SWT kerana saya masih berenaga untuk beri satu kegembiraan kepada kanak-kanak istimewa ini yang memang telah memainkan peranan dalam kerjaya saya dari dulu.
“Itulah saya tak pernah lupa mereka. Jadi, setiap kali di mana saya berada, sama ada di Singapura saya buat di Singapura, kalau ada di Australia saya buat di Australia serta Sabah, Sarawak dan sebagainya.
“Saya sudah pusing keliling. Semua tempat dah pergi untuk raikan kanak-kanak istimewa. Tarikhnya masih sama iaitu 14 Februari setiap tahun,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Menurutnya bagaimanapun ada satu tahun, dia sakit dan terpaksa menunda sambutan ulang tahun kelahirannya seminggu selepas itu.
“Saya masuk hospital dan saya tunda satu minggu. Itu sekali sahaja. Yang lain semua tepat pada tarikhnya.
“Jadi inilah satu-satunya yang bagi saya satu semangat supaya saya akan menceriakan, selagi saya berupaya untuk menjaga kebajikan mereka.
“Kalau tak salah, saya ada masalah prostat ketika itu dan dimasukkan ke hospital. Doktor kata tidak boleh keluar jadi saya tunda seminggu,” katanya.
Dave berkata, kali ini dia memilih lima pusat anak-anak cacat, istimewa yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India sebagai tanda keharmonian negara.
“Tempat ini dipilih sempena tahun kuda. Istimewanya, saya bawa mereka naik kuda kali ini. Tahun-tahun lepas saya pernah buat helikopter ride, dah dua tiga kali.
“Pernah juga saya bawa naik cruise dekat Sabah, kapal besar. Kali ini saya rasa kenapa tidak buat naik kuda? Mereka semua seronok.
Ada dalam 20 ke 30 orang naik kuda tadi, mana yang mampulah.
“Setiap kali buat, kosnya berbeza-beza. Kadang-kadang saya bagi derma, saya bagi makan, bagi hadiah-hadiah. Ada dalam RM15,000 pun ada, RM20,000 pun ada, RM25,000 pun ada tetapi saya tidak berkira. Saya keluarkan untuk kebajikan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




