PADANG RENGAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus melaungkan komitmen menentang gejala rasuah dalam negara demi memastikan wang kerajaan tidak lesap, sebaliknya digunakan untuk tujuan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri berkata, wang dan peruntukan kerajaan yang diseleweng akibat rasuah boleh merencatkan usaha untuk melaksanakan pelbagai program.
Beliau memberi contoh program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kenaikan gaji penjawat awam merupakan antara langkah yang dapat dibuat apabila kerajaan mempunyai cukup wang.
“Saya tak izin orang guna wang kerajaan untuk sakau. Saya tak bagi. Hang berani hang buat, kita tangkap bawa ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Santuni Madani dan Sambutan Ihya Ramadan warga Padang Rengas bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar mahu tanggapan negatif terhadap ekonomi negara dihentikan kerana pencapaian Malaysia kini bertambah baik, tidak seburuk yang dilemparkan oleh pihak tertentu.
“Janganlah kata kita ini lebih buruk berbanding negara jiran. Kita Alhamdulillah, jauh lebih baik. Ekonomi kita meningkat. Lebih baik berbanding apa yang kita unjurkan,” katanya.
Jelasnya, kekuatan ekonomi itu juga membolehkan kerajaan berbelanja lebih untuk pelbagai kepentingan rakyat termasuk melaksanakan dasar murid Tahun 1 bermula pada umur enam tahun.
Anwar berkata, permulaan pendidikan lebih awal adalah penting terutama buat anak-anak Melayu dan Islam agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran. – UTUSAN




