Dalam nuansa cahaya senja yang memikat dan penuh misteri, Wany Hasrita kembali dengan single terbaharu berjudul Lembayung Tari, sebuah karya Pop Etnik yang mengalir lembut namun kaya dengan aura magis.
Lagu hasil gandingan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh itu menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden, sekali gus menawarkan kelainan buat pendengar yang mencari karya segar. Susunan muziknya dibina dengan identiti etnik kontemporari, disulam rasa puitis, lembut dan sarat emosi, selain diserikan elemen misteri yang menjadikan keseluruhan pengalaman mendengar lebih unik.

Lembayung Tari mengangkat kisah detik istimewa di waktu senja, saat peralihan cahaya yang disifatkan sebagai simbol ketenangan, keindahan dan penyembuhan jiwa. Metafora lembayung dan tarian digunakan untuk menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan serta penawar emosi tanpa memerlukan kata-kata.

Menurut Wany, lagu ini dekat di hati kerana memberi ruang untuk pendengar memperlahankan langkah seketika daripada kesibukan rutin, sebelum menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni gerak. Katanya, karya tersebut seakan mengajak setiap orang untuk berhenti sejenak dan kembali menyantuni diri dalam suasana yang lebih tenang.
Single ini diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.




