suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kajang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan 2026 sebagai tahun mempergiat gerakan ‘Berani dan Radikal Perangi Rasuah’ dengan penegasan bahawa pendekatan itu diterjemahkan melalui tindakan berstrategi dan kesiapsiagaan tinggi dan bukan sekadar ungkapan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, usaha memerangi rasuah menuntut setiap tindakan digerakkan berpaksikan fakta yang sahih, perancangan yang terarah serta keberanian yang konsisten bagi menjamin integriti dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
“Seperti di lapang sasar ini, setiap bidikan memerlukan ketepatan dan ketenangan.
“Begitu jugalah dalam perjuangan antirasuah, setiap tindakan kita mesti berasaskan fakta tepat, strategi yang tajam dan keberanian tidak berbelah bahagi,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Menembak SPRM Tahun 2026 di Lapang Sasar, Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penguasaan serta kecekapan mengendalikan senjata api perlu diberi perhatian serius susulan operasi yang semakin kompleks dan membabitkan kes bersindiket berisiko tinggi, sekali gus memerlukan tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam kalangan pegawai.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM,Zuhairie Abu Bakar berkata, tahap disiplin ketika menggunakan senjata api adalah tunjang kepada profesionalisme setiap pegawai penguat kuasa.
“Disiplin dalam penggunaan senjata api mencerminkan profesionalisme bukan hanya tepat pada sasaran, tetapi tepat dalam pematuhan peraturan,” katanya.
Untuk rekod, pertandingan itu menggunakan pistol jenis Glock 19 dan turut memperkenalkan format ujian jarak baharu antara 15 hingga 20 meter (m) berbanding jarak tipikal 10 m sebelum ini.
Difahamkan ia sebagai langkah memastikan pegawai sentiasa selangkah ke hadapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di lapangan.
Kejohanan itu menjadi medan memperkukuh kemahiran pegawai serta membuktikan komitmen SPRM memastikan anggotanya sentiasa bersedia dan profesional memerangi rasuah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




