Fasha Sandha gugur bukan sebab kuat diet

Fasha Sandha gugur bukan sebab kuat diet

Kuala Lumpur : Fasha Sandha berkongsi dirinya keguguran, iaitu pada usia janin 10 minggu, semalam.

Melalui hantaran Instagram (IG), Fasha berkata, keadaan janin kurang baik dipercayai punca keguguran, bukan disebabkan dirinya terlalu kuat bekerja atau menjaga badan.

“Bukan kerana terlalu banyak bekerja atau bergerak, bukan juga kerana terlalu kuat berdiet.

“Doktor Elly beritahu ‘Baby A’ tidak sihat, maka, terjadilah keguguran awal kehamilan iaitu pada minggu ke-10. Tetapi, saya kena buat prosedur cuci rahim sebab ‘Baby A’ sudah besar,” katanya.

Fasha bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap masih belum rezeki bagi dirinya dan suami untuk menimang cahaya mata kedua.

“Bukan rezeki kami lagi… Insya-Allah, akan cuba lagi pada tahun akan datang. Sekarang sama-sama kami fokus kerja dulu,” katanya.

Fasha turut menitipkan nasihat kepada ibu yang menghadapi dugaan sama supaya tabah dan yakin bahawa setiap pengalaman hidup ada hikmahnya.

“Saya akan jalankan kerja seperti biasa. Bagi sesiapa yang mengalami keguguran pada awal kehamilan, seperti saya, jangan rasa ‘down’.

“Dapat hamil secara semula jadi pun sudah satu anugerah. Mungkin ada rezeki lain yang menanti. Saya percaya setiap dugaan ada hikmah dan kita perlu reda dengan ketentuan Allah.

“Apa yang penting, jaga diri, kuatkan semangat dan jaga pemakanan,” ujarnya.

Fasha pernah berkahwin dengan usahawan, Rizal Ashram atau Jejai pada 27 April 2012. Namun, mereka bercerai pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramle, 13, dan Putri Raysha Jemyma, 11 tahun.

Fasha kemudian berkahwin dengan aktor Adil Aziz pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Aisha Amira yang berusia enam tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top