Wanj Kayrie terharu, lagu digambarkan 'SEAblings'

Wanj Kayrie terharu, lagu digambarkan 'SEAblings'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Wani Kayrie meluahkan rasa terharu dan merakamkan terima kasih kerana lagunya, Cak Cak Cekuk tular di Threads serta dilabel sebagai salah satu karya yang menggambarkan gerakan negara Asia Tenggara (SEAblings).

Dalam satu balasan kepada komen netizen dari Indonesia, Wani, 26, berharap ini menjadi permulaan agar budaya Asia Tenggara akan lebih menarik minat ramai.

“Terima kasih Indonesia. Terima kasih juga kerana memilih lagu saya untuk dijadikan contoh utama mewakili budaya dari Malaysia.

“Semoga lebih ramai tertarik dengan keunikan dan keindahan budaya negara SEAblings (Asia Tenggara) yang lain,” tulisnya.

Terdahulu, pemilik akaun Threads menggunakan nama Dalf Modest memuat naik potongan video muzik Cak Cak Cekuk dan mengajak orang ramai agar lebih menghargai karya dan budaya Asia Tenggara.

“Kalian sedar atau tidak, SEAblings itu sebenarnya jauh lebih menarik daripada Kpop yang hanya modal joget brutal, pamer tubuh dan wajah hasil pembedahan doktor.

“SEAblings kaya dengan budaya alam. Setiap video dan lagu-lagu yang mereka bawa selalu mengandungi unsur budaya yang boleh kita nikmati, yang mana, itu tak ada di Kpop. Marilah kita mula beralih ke media SEAblings,” tulisnya.

Sejak beberapa minggu lalu, media sosial menjadi ‘medan perang’ antara warga Asia Tenggara dengan Korea Selatan selepas seorang warga negara itu menghina Malaysia apabila tindakannya membawa kamera profesional di acara konsert, dikritik.

Tidak hanya berdiam diri, netizen Malaysia kemudiannya mula menghentam dan mendapat sokongan daripada masyarakat dari negara jiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top