Istanbul: Pengarah filem The Voice of Hind Rajab menolak menerima anugerah pada satu majlis di Berlin, Jerman, Isnin lalu selepas seorang jeneral Israel turut diberikan pengiktirafan dalam majlis sama, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kaouther Ben Hania memilih untuk tidak menerima anugerah ‘Filem Paling Berharga’ pada majlis gala Cinema for Peace dan meninggalkan trofi berkenaan.
Dalam ucapannya, pengkarya dari Tunisia itu berkata, beliau berasa tanggungjawab adalah lebih besar daripada rasa syukur dan menggunakan detik itu untuk memberikan kenyataan mengenai keadilan serta akauntabiliti terhadap Hind Rajab.
Hind ialah kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun yang dibunuh oleh tentera Israel di Gaza pada 2024, malah pasukan penyelamat yang cuba menyelamatkannya turut ditembak.
“Keadilan bermaksud akauntabiliti. Tanpa akauntabiliti, tiada keamanan. Tentera Israel membunuh Hind Rajab, membunuh keluarganya, membunuh dua paramedik yang datang untuk menyelamatkannya dengan persubahatan kerajaan dan institusi paling berkuasa di dunia.
“Saya enggan membiarkan kematian mereka menjadi sekadar latar belakang untuk ucapan sopan mengenai keamanan. Tidak sama sekali ketika struktur yang membolehkan perkara itu berlaku kekal tidak disentuh.
“Saya tidak akan membawa pulang anugerah ini. Saya meninggalkannya di sini sebagai peringatan. Apabila keamanan diusahakan sebagai kewajipan undang-undang dan moral, berakar umbi pada akauntabiliti terhadap genosid, barulah saya akan kembali dan menerimanya dengan gembira,” katanya.
Menegaskan kematian Hind bukanlah satu pengecualian, sebaliknya sebahagian daripada genosid, beliau mengkritik tokoh politik yang menyifatkan pembunuhan orang awam secara besar-besaran sebagai ‘pertahanan diri’ atau ‘keadaan yang kompleks’, selain memperlekehkan penunjuk perasaan.
“Keamanan memerlukan keadilan dan akauntabiliti, bukan sekadar slogan yang indah,” katanya.
The Voice of Hind Rajab diangkat daripada kisah benar Hind Rajab, yang terperangkap di dalam kereta keluarganya pada 29 Januari 2024 selepas kenderaan itu ditembak oleh tentera Israel di Bandaraya Gaza.
Dia ditemukan maut selepas hampir dua minggu dalam ketidakpastian.
Filem itu memfokuskan kepada rakaman audio panggilan telefon terakhir Hind kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, yang memaparkan rayuannya meminta pertolongan.
Insiden itu mengundang kritikan global selepas timbul laporan bahawa Israel pada mulanya cuba menafikan kematiannya, selain dakwaan pembunuhan terbabit adalah satu tindakan yang tidak adil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




