London: Pengurus Eddie Howe mahu penyerangnya, Anthony Gordon, terus ‘bernafsu’ di depan gol selepas aksi cemerlang dalam kemenangan 6-1 ke atas Qarabag FK pada aksi play off pertama Liga Juara-Juara di Baku.
Gordon meledak empat gol untuk menjadikan jumlah jaringan musim ini kepada 10, termasuk sepakan penalti kedua walaupun kapten Kieran Trippier dilaporkan meminta peluang itu diberikan kepada Nick Woltemade.
Howe menegaskan insiden berkenaan bukan isu besar dan menyifatkannya sebagai petanda positif kerana ia menunjukkan keazaman tinggi Gordon untuk menjaringkan gol dalam setiap peluang.
Pada masa sama, beliau memuji sikap Trippier yang memikirkan kepentingan pasukan sebagai pemimpin.
“Kami jaringkan penalti itu dan semua pemain jelas mahu lakukan yang terbaik,” katanya.
Newcastle yang kini berada di pertengahan carta Liga Perdana Inggeris akan bertandang ke gelanggang Manchester City Ahad ini dengan misi menamatkan badi di Etihad selepas tewas dalam 16 kunjungan liga terakhir sejak kali terakhir menang pada September 2000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




