norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun belum pulih sepenuhnya, namun tahap kesihatan ditunjukkan Shamsul Ghau Ghau, 58, semakin membaik dan dia juga sudah mula mendapatkan tawaran kerja sejak sebulan lalu.
Isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim berkata dia dan anak-anak sangat bersyukur serta gembira dengan peningkatan kesihatan Shamsul yang kini sudah dapat bekerja semula.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana tahap peningkatan kesihatan suami saya sangat positif. Terapi pertuturan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini sudah pun selesai dua bulan lalu.
“Cuma, untuk sesi terapi pertuturan diatur pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) tidak lama lagi. Bagaimanapun, keadaan kesihatan Pak Su (panggilan Shamsul) semakin baik walaupun belum 100 peratus.
“Sekarang, Pak Su pun sudah mula bekerja sedikit-sedikit dan esok, dia akan terbabit ‘shooting’ satu drama pendek. Baru-baru ini, dia juga diundang untuk aktiviti di ‘food festival’ serta Forum Perdana Maulidur Rasul di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, dia dapat berceramah semula atas jemputan Syamsul Debat di Surau An-Nur Paroi, Seremban bersama Ustaz Haslin Bollywood dan Adam Corrie pada 29 Ogos lalu. Alhamdulillah, nampak dia semangat nak bekerja.
“Terima kasih juga kepada pengarah filem Tiket Sehala, Rahila Ali yang sudi menjemput Pak Su membacakan doa pada majlis pelancaran diadakan sebagai pemangkin semangat kepadanya yang masih dalam proses nak pulih.
“Sebagai bapa dan ketua keluarga, saya faham Pak Su memang sudah sedia untuk kerja kerana ada bil-bil perlu dibayar dan anak-anak juga masih belajar. Jadi kalau ada yang nak bagi tawaran kerja, boleh dibincangkan,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Sharifah Azrinah, bagaimanapun dari segi selera makan suaminya masih agak kurang tetapi Pak Su kini dalam keadaan sihat kerana pemakanan hariannya sangat perlu dijaga.
“Apapun, harapan saya semoga suami terus dapat bekerja kerana dia memang sangat bertanggungjawab kepada keluarga. Jadi, buat sesiapa yang ingin beri tawaran kerja kepada suami saya, sudah boleh.
“Cuma, kena beri masa lagi kepadanya sesuaikan diri bekerja semula perlahan-lahan. Tetapi, ada juga kenalan memberitahu bahawa bekerja juga satu terapi pemulihan buat suami untuk dia bertutur dan mengingat,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, Shamsul dimasukkan ke HSAAS, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang dan menjalani pembedahan membuang darah beku pada salur darah utama di bahagian kiri otak.
Selepas pembedahan itu, Shamsul kembali sihat tetapi dia perlu menjalani terapi pertuturan serta mengikuti temujanji pemeriksaan kesihatan berkala di hospital yang ditetapkan doktor.
© New Straits Times Press (M) Bhd


