am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Pancaran, Bestari Jaya, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.32 malam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang berehat dalam permainan futsal. Mangsa memegang tiang lampu yang disyaki mempunyai arus elektrik hingga menyebabkannya rebah di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘consistent with electrocution’.
“Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Azaharudin berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd


