Cadangan mewujudkan Hospital Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak seharusnya dikaitkan dengan perkauman, sebaliknya dirangka berdasarkan perkembangan ekosistem pendidikan kesihatan Mara yang semakin lengkap.
Ribuan tenaga profesional dalam bidang kesihatan telah dilahirkan
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan menerusi hantaran di Facebook, ribuan doktor dan tenaga profesional dalam bidang kesihatan telah dilahirkan menerusi institusi pendidikan serta program penajaan MARA selepas lebih 60 tahun penubuhan agensi berkenaan.
MARA kini punyai ekosistem pendidikan kesihatan
Menurutnya, MARA kini mempunyai ekosistem pendidikan kesihatan yang merangkumi pelbagai bidang termasuk perubatan, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan dan psikologi.
“UniKL MESTECH di Bangi menawarkan bidang berkaitan sains kesihatan, makmal, kesihatan alam sekitar serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“UniKL BMI di Gombak menawarkan program kejuruteraan kesihatan seperti penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan manakala UniKL MITEC menawarkan kursus penyelenggaraan peralatan perubatan dan kesihatan,” tulisnya.

Pada 24 Ogos lalu, Asyraf Wajdi dilaporkan mengumumkan rancangan institusi berkenaan untuk menubuhkan Hospital MARA yang pertama, bukan hanya sebagai hospital pengajar, malah menjadi pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera.
Beliau memaklumkan agenda tersebut sudah dimulakan oleh pasukan khas dengan lima rasional utama untuk membangunkannya.
Foto: The Star
Asyraf tak akan toleh ke belakang lagi
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Bahagian Penajaan MARA turut menyediakan pembiayaan pendidikan bermula peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan dan kesihatan sehingga sarjana, Doktor Falsafah (PhD) serta pengajian doktor pakar dengan tidak kurang 45,000 individu telah dilahirkan oleh institusi berkenaan.
“Saya tidak pernah akan menoleh ke belakang lagi. Pasukan khas telah dibentuk dan saya amanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Mara, Dr Mahzan untuk mengepalainya.
“Insya-ALLAH semua aspek akan diteliti dan pandangan pakar-pakar akan digemblingkan termasuk doktor pakar daripada pelbagai hospital awam dan swasta yang menyatakan kesediaan membantu memandangkan mereka semua bekas anak tajaan MARA,” ujarnya.

Sumber: Facebook Asyraf Wajdi Dusuki
